PETALING JAYA – Budaya ‘menapau’ makanan terutamanya di majlis kenduri atau majlis keraian sudah menjadi kebiasaan kepada masyarakat hari ini.
Namun, menerusi perkongsian oleh pendakwah selebriti, Ustaz Azhar Idrus, tindakan sedemikian haram sekiranya tidak mendapat keizinan daripada tuan rumah atau pihak penganjur.
“Barangsiapa yang dijemput pergi ke kenduri kahwin maka harus dia makan di situ sahaja dan jika dia hendak mengambil makanan untuk di bawa pulang ke rumah atau ke tempat lain maka wajib dia meminta izin daripada tuan rumah.
“Jika dia tidak meminta izin nescaya hukumnya adalah haram dan wajib dia pulangkan semula jika masih elok dan jika sudah dimakannya maka wajib dia membayar akan harganya.
“Demikian juga haram dia beri makanan yang dijamu itu kepada orang lain yang tidak dijemput oleh tuan rumah,”kongsinya pada satu hantaran di laman Facebook.
Mengulas lanjut, Azhar berkata, tetamu yang dijemput ke kenduri seperti kenduri kawhin hanya harus memakan makanan yang dihidangkan.
“Haram atasnya membawa balik tanpa izin atau memberinya kepada orang lain,”katanya.-KOSMO! ONLINE














