KUALA TERENGGANU – Gara-gara terlalu takut didakwa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram, seorang penjawat awam kerugian RM150,000 akibat diperdaya sindiket penipuan atau ‘scammer’.
Wanita berusia 43 tahun yang sanggup membuat pinjaman peribadi bagi memenuhi permintaan suspek itu telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada pukul 1.42 tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya kakitangan kerajaan itu telah dihubungi oleh individu tidak dikenali yang mengaku kononnya ejen insurans.
“Mangsa terkejut dimaklumkam kononnya butiran peribadinya telah disalahguna sebelum panggilannya disambung pula ke suspek lain kononnya pegawai polis.
“Suspek mendakwa kononnya mangsa akan ditahan kerana terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram,” katanya di sini hari ini.
Azli berkata, sebagai jalan penyelesaian, wanita berkenaan telah diarah membuat membuat pembiayaan peribadi.
Beliau berkata, suspek kemudian mengarahkan wang yang diperolehi daripada kelulusan pinjaman tersebut dimasukkan ke dalam akaun bank baharu diberikan.
“Suspek seterusnya memindahkan kesemua wang tersebut ke dalam akaun bank lain pula tanpa pengetahuan mangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE














