ASSALAMUALAIKUM, mohon jelaskan berkenaan aurat Muslimah dengan perempuan yang bukan Islam dalam keadaan susah mahu tutup aurat setiap masa, contohnya rakan sebilik?
JAWAPAN: Dalam Islam, konsep aurat bukan sekadar isu berpakaian tetapi mencerminkan nilai kesopanan, maruah dan ketaatan seorang Muslim terhadap perintah Allah SWT. Perbincangan mengenai batas aurat sering tertumpu kepada interaksi antara lelaki dan wanita, namun tidak kurang pentingnya memahami batas aurat antara sesama wanita, khususnya antara wanita Muslim dan wanita bukan Islam.
Allah SWT berfirman dalam al-Quran kepada wanita Muslimah untuk menjaga auratnya seperti berikut: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mentua mereka atau anak-anak mereka atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji daripada orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah al-Nur, 31)
Perkataan aurat merujuk kepada bahagian tubuh yang tidak boleh kelihatan atau wajib ditutup.
Terdapat beberapa perbahasan berkenaan aurat wanita yang perlu ditutup dalam kalangan wanita antara Muslim dan bukan Muslim.
Ulama fiqh berbeza pendapat berkenaan aurat wanita Muslimah pada pandangan wanita bukan Muslim.
Pertama, seluruh tubuh seperti auratnya ketika berada dalam kalangan lelaki ajnabi.
Pendapat ini merupakan pendapat jumhur ulama iaitu mazhab Hanafi, mazhab Maliki dan pendapat muktamad dalam mazhab Syafi’i.
Imam al-Khatib al-Syirbini berkata: “Pendapat yang sahih adalah haram wanita kafir sama ada zimmi atau selainnya (harbi) melihat aurat wanita Muslimah, maka wanita Muslimah hendaklah berhijab dengannya berdasarkan firman Allah SWT: “atau perempuan-perempuan Islam.” (Surah al-Nur: 31)
Maka jika dibolehkan bagi wanita kafir untuk melihat, nescaya tidak ada lagi manfaat wujudnya takhsis (pengecualian) tersebut.
Bahkan, dinyatakan juga harus wanita kafir melihat wanita Muslimah anggota yang zahir ketika bekerja dan ia adalah pandangan muktamad.
Kedua, aurat sebagaimana antara lelaki dan lelaki atau antara wanita dan wanita tanpa membezakan agama.
Pendapat ini merupakan pendapat mazhab Hanbali dan pendapat kedua dalam mazhab Syafi’i sebagaimana berikut: “Tidak diharamkan wanita kafir memandang wanita Muslimah kerana persamaan jantina seperti antara lelaki sesama lelaki. Ini kerana para ulama tidak membezakan dalam perkara ini pandangan lelaki kafir kepada lelaki Muslim dan antara lelaki Muslim kepada lelaki Muslim lain.”
Oleh yang demikian, menurut pendapat majoriti ulama fiqh bahawa aurat Muslimah pada pandangan wanita bukan Muslim (kafirah) adalah seperti aurat perempuan pada pandangan lelaki ajnabi.
Selain itu, mazhab Maliki juga menyatakan pengharaman wanita bukan Muslim melihat wanita Muslimah kerana dibimbangi wanita kafir itu akan menceritakan sifat tubuhnya kepada suaminya yang kafir. Maka, pengharaman ini adalah disebabkan faktor luaran iaitu kebimbangan tersebut, bukan kerana tubuh itu adalah aurat pada asalnya.
Perkara ini juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud RA, Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah seorang wanita bergaul dengan wanita lain, lalu wanita lain itu menceritakan kepada suaminya sehingga seakan-akan suaminya melihat wanita yang diceritakannya.” (Riwayat al-Bukhari)
Namun begitu, dalam keadaan keperluan yang mendesak atau menyukarkan wanita Muslimah untuk menutup aurat sebagaimana yang ditetapkan oleh majoriti ulama.
Wanita Muslimah dibolehkan menampakkan aurat di hadapan wanita bukan Muslim sebagaimana auratnya sesama wanita Muslimah sekiranya wanita bukan Muslim tersebut boleh dipercayai.
Kesimpulannya, pengawalan dan penjagaan aurat adalah amat penting. Tetapi dalam keadaan tertentu, jika dengan wanita bukan Islam, maka ia adalah harus untuk menampakkan sebahagian auratnya dengan syarat tidak membawa fitnah dan menjatuhkan maruah wanita Muslimah.














