KUALA LUMPUR – Cabaran perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao di pentas Terbuka Malaysia 2026 berakhir di pusingan kedua selepas tewas kepada bintang Indonesia, Jonatan Christie di Axiata Arena, hari ini.
Jun Hao yang meletakkan harapan tinggi pada kejohanan berstatus Super 1000 itu terpaksa akur dengan kehebatan pilihan keempat kejohanan apabila tewas straight set 18-21, 11-21 dalam pertarungan selama 55 minit.
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia terus kempunan untuk menamatkan kemarau gelaran dalam acara perseorangan lelaki di laman sendiri selepas kali terakhir dimenangi legenda negara, Datuk Lee Chong Wei pada edisi 2018.
Keputusan itu juga menjadikan rekod pertemuan antara kedua-dua pemain kini terikat 3-3, memadam kelebihan Jun Hao yang sebelum ini menewaskan Jonatan di Terbuka Singapura pada Mei tahun lalu.
Jun Hao mengakui kecewa gagal meneruskan kemaraan di hadapan penyokong sendiri, namun menerima hakikat bahawa kualiti permainan lawan menjadi pemisah utama.
“Saya rasa saya sudah melakukan apa yang termampu hari ini. Namun harus diakui, Jonatan beraksi jauh lebih baik dan kualiti pukulannya juga lebih tinggi berbanding saya.
“Sudah tentu saya kecewa kerana mahu menang di sini. Walaupun mendapat sokongan padu peminat yang banyak membantu, keputusan hari ini tidak memihak kepada saya,” katanya ketika ditemui sejurus tamat perlawanan. -KOSMO! ONLINE














