PETALING JAYA – Proton mengesahkan tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan susulan insiden kebakaran yang berlaku di sebuah fasiliti Body & Paint (B&P) milik pengedarnya semalam.
Proton dalam kenyataannya berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 5 petang semalam di fasiliti Proton Salient Progress (B&P) di Kampung Baru Sungai Buloh, Shah Alam.
Katanya, Jabatan Bomba dan Penyelamat dimaklumkan segera mengenai kejadian itu dan operasi pemadaman api berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya pada pukul 8 malam.
“Punca kejadian dan tahap kerosakan masih dalam siasatan. Setakat ini, tiada sebarang petunjuk yang menunjukkan insiden tersebut berpunca daripada isu berkaitan produk Proton,” katanya.
Proton berkata, siasatan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa dengan kerjasama penuh daripada pihak pengedar terlibat.
Syarikat itu akan terus memberikan sokongan, khususnya dalam pengurusan berkaitan pelanggan yang terkesan akibat kejadian tersebut.
“Pelanggan terlibat akan dihubungi segera bagi memastikan urusan mereka dapat ditangani dengan sewajarnya,” katanya.
Sementara itu, Proton turut mengesahkan bilik pameran Salient Progress Kepong 4S di Jalan Besar Kepong, Kuala Lumpur tidak terjejas dan beroperasi seperti biasa.
Kosmo! sebelum ini melaporkan sebanyak 51 buah kenderaan musnah dalam kebakaran melibatkan sebuah bengkel servis dan cat kenderaan Proton semalam. – KOSMO! ONLINE














