PETALING JAYA – Jabatan Imigresen (JIM) menggempur empat premis perindustrian di Semenyih dan sebuah tapak pembinaan di Sungai Long, Kajang disyaki menggajikan warga asing tanpa permit yang sah semalam.
Operasi bersepadu melibatkan kekuatan seramai 110 pegawai termasuk Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Tenaga Kerja itu dijalankan hasil aduan dan risikan oleh Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat JIM Putrajaya selama dua minggu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam operasi bermula pukul 12 tengah hari itu, seramai 189 warga asing dan 27 rakyat tempatan diperiksa.
“Hasil pemeriksaan, seramai 171 orang terdiri daripada warga Bangladesh, Myanmar, India, Nepal dan Indonesia berusia 29 hingga 50 tahun ditahan.
“Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata, sebanyak tiga kompaun berjumlah RM15,000 dan saman RM500 dikeluarkan ke atas syarikat terbabit di bawah Seksyen 30(1)(b) Akta Syarikat 2016 dan Kaedah 17A(2) Kaedah-Kaedah Pendaftaran Perniagaan 1957.
“Sebanyak lima Borang 29 (saman kepada saksi) dikeluarkan kepada warga tempatan bagi membantu siasatan,” katanya yang memberitahu mereka ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE














