KUALA LUMPUR – Semangat juang tinggi dipamerkan beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai membawa mereka ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026 di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Pada aksi pusingan pertama hari ini, pasangan suami isteri itu dipaksa bekerja keras apabila melakukan kebangkitan sebelum menang 15-21, 21-19, 21-14 ke atas Wu Guan Xun-Lee Chia Hsin dari Taiwan.
Soon Huat-Shevon wajar diberikan pujian apabila masih mampu memberikan tentangan kepada lawan meskipun kedua-duanya berdepan masalah kesihatan seperti selesema dan keracunan makanan.
“Memang perlawanan hari ini agak sukar kerana pasangan saya (Shevon) kurang sihat dan kita tercari-cari momentum serta rentak perlawanan sejak set pertama, lebih-lebih lagi Taiwan juga merupakan gandingan baharu.
“Semalam dia keracunan makanan dan ada muntah-muntah, jadi hari ini memang kami perlu kuatkan mental. Saya juga kurang rehat kerana perlu menjaganya sepanjang malam,” kata Soon Huat ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Tambah pemain berusia 36 tahun itu, dia dan Shevon terpaksa mengambil ubat-ubatan sebelum masuk ke gelanggang bagi memastikan mereka dapat mempamerkan aksi terbaik sepanjang perlawanan tersebut.
Menjelang aksi pusingan kedua menentang beregu Amerika Syarikat (AS), Presley Smith-Jennie Gai esok, Soon Huat menyuarakan keyakinan untuk mencatat kemenangan dan meneruskan kemaraan ke suku akhir.
“Kita pernah jumpa gandingan AS beberapa kali sebelum ini, jadi memang ada keyakinan untuk bertemu mereka nanti. Terima kasih kepada penyokong yang tidak putus-putus memberikan sokongan,” ujar Soon Huat. – KOSMO! ONLINE














