fbpx
Gambar hiasan janaan AI.

Nak buka sekolah, harap ibu bapa jujur ‘declare’ gaji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang guru meluahkan rasa kesal mengenai sikap segelintir ibu bapa yang didakwa tidak jujur mengemas kini maklumat pendapatan sekali gus menimbulkan isu ketirisan bantuan kepada murid yang benar-benar memerlukan.

Menerusi perkongsian guru wanita itu di Thread @LiyanaReshid, dia berharap ibu bapa lebih telus ketika mengemas kini nilai gaji sebenar kerana tindakan menipu bukan sahaja menyusahkan pihak sekolah, malah boleh menjejaskan peluang murid lain yang lebih layak.

Menurutnya, pernah berlaku kes seorang ibu muridnya yang bekerja sebagai jururawat di Arab Saudi, namun dalam sistem berkaitan bantuan persekolahan, status pekerjaan dikemas kini sebagai tidak bekerja dan tiada slip gaji diserahkan kepada guru kelas.

Situasi itu terbongkar apabila anak berkenaan memohon cuti untuk menghantar ibunya ke lapangan terbang bagi pulang semula ke Arab Saudi.

“Saya tanya dia mak awak kerja apa? Murid jawab mak saya jururawat dekat Arab Saudi. Garu kepala sekejap sebabdalam sistem ibu bapa dia kemaskini tidak bekerja,” katanya.

Guru tersebut turut mengingatkan ibu bapa supaya memikirkan soal keberkatan pendidikan anak-anak dan tidak menipu sejak awal kerana akhirnya anak sendiri yang terpalit.

Tambahnya, tindakan menyembunyikan pendapatan sebenar juga disifatkan menutup rezeki murid lain yang benar-benar tidak berkemampuan, termasuk yang sepatutnya diberi peluang menerima bantuan atau biasiswa.

“Kesian murid lain yang betul-betul tak mampu, sepatutnya ada peluang tapi tersekat dek orang lain,” katanya lagi.

Perkongsian itu turut mengundang pelbagai reaksi orang ramai yang berkongsi pengalaman berdepan situasi sama di sekolah.

Seorang pengguna, Dida Syuhada berkata dia pernah menyenaraikan seorang pelajar sebagai penerima biasiswa kerana menyangka bapanya bekerja di kilang kayu, namun kemudian dimaklumkan guru lama bahawa bapa pelajar itu sebenarnya pemilik kilang.

“Aku dulu mula-mula jadi cikgu kan tak kenal budak lagi, masa tu cikgu Tingkatan 1. Bagi borang biasiswa, ada sorang pelajar kata ayah kerja kilang kayu. Jadi namanya tersenarai. Sekali cikgu lama cakap ayah dia tauke kilang kayu. Hantar anak pergi sekolah naik Mercedes. Terasa ditipu betul,” katanya.

Sementara itu, Ismi Syikin pula mendakwa di sekolah anaknya ramai yang tidak mengisytiharkan pendapatan sebenar walaupun jelas hidup selesa, namun tetap tersenarai dalam kategori asnaf.

“Rumah besar, ada penghawa dingin, motosikal baru beli, dalam rumah siap dekorasi lagi tapi kategori asnaf. Ada sawah, ada lori, ada traktor. Kenapa ada orang nak hadap sangat bantuan, bagilah yang lebih memerlukan,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI