fbpx
WINDSOR

Liga M bakal jadi jaguh kampung?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SAINGAN Liga Malaysia (Liga M) akan terus ‘selamat’ untuk dilangsungkan walaupun jika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dikenakan hukuman penggantungan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Bagaimanapun, pertandingan itu tidak akan memberi makna besar kerana tiada lagi kelab yang boleh membawa cabaran Malaysia ke pertandingan antarabangsa termasuk di pentas Asia seperti dikecapi Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC ketika ini.

Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul berkata, jika FAM dikenakan penggantungan, segala aktiviti bola sepak terhad dalam Malaysia sahaja.

“Mereka tidak boleh berurusan dengan mana-mana persatuan-persatuan bola sepak lain. Perlawanan persahabatan melibatkan pasukan kebangsaan daripada peringkat bawah umur hingga senior juga tidak boleh diadakan.

“Kelab yang bertanding mewakili Malaysia seperti JDT, Selangor FC dan sebagainya dalam Liga Juara-Juara Asia atau kejohanan ASEAN, tidak akan dibenarkan beraksi di luar. Bermaksud aktiviti bola sepak hanya terhad dalam Malaysia jika FAM digantung,” katanya.

Untuk rekod, FAM sebelum ini mengesahkan, badan induk itu sudah pun menghantar rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Windsor juga menjelaskan pengantungan oleh FIFA akan memberikan kesan secara lebih meluas dan ia tidak terhad kepada penganjuran dan penyertaan dalam mana-mana pertandingan bola sepak.

“Pegawai-pegawai seperti pengadil juga tidak boleh terlibat dengan aktiviti di luar daripada Malaysia. Itu adalah keadaan yang sangat drastik yang mana-mana negara tidak ingin ia berlaku,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI