SEBERANG PERAI – Seorang peniaga makanan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, di sini hari ini atas pertuduhan melanggar seorang doktor sehingga menyebabkan kecederaan pada 28 Disember lalu.
Khor Wei Yeak, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd. Akit.
Tertuduh didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap A. Avinash, 32, dengan melanggarnya menggunakan sebuah kereta di lorong Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di Plaza Tol Lingkaran Luar Butterworth (BORR), Perai kira-kira pukul 11.30 malam.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Amalina Harun, manakala tertuduh diwakili peguam C. Hari Prassaad Rao.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan laporan perubatan. – KOSMO! ONLINE














