PUCHONG – Sebuah kilang makanan sejuk beku di Taman Perindustrian Maju Jaya di sini terbakar awal pagi tadi dengan kira-kira 80 peratus bangunan musnah, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.14 pagi.
Beliau berkata, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Puchong tiba di lokasi 10 minit kemudian.
“Kebakaran melibatkan sebuah kilang frozen berkeluasan anggaran 40 x 80 kaki persegi dan dianggarkan 80 peratus terbakar. Tiada mangsa dilaporkan setakat ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, seramai 32 anggota dengan kekuatan beberapa jentera dikerahkan bagi operasi pemadaman yang masih dijalankan. – KOSMO! ONLINE














