AMPANG – Jenazah Allahyarham Isma Aliff atau nama sebenarnya, Muhammad Latiff Ismail, 62, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana di sini, pukul 6.20 petang tadi.
Pengebumian pelakon, penyanyi, pelawak dan hos terkenal era 1980-an berjalan lancar dengan dihadiri sekitar 50 orang termasuk ahli keluarga, kenalan serta rakan mengiringi jenazah bagi memberi penghormatan terakhir.
Antara rakan artis yang hadir termasuk di Masjid Jamiul Huda Ampang iaitu lokasi jenazah diurus dan disolatkan di Masjid di sini selepas solat Asar ialah Datuk Den Wahab, Datuk Razak Ahmad, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar serta Rahim Jailani.
Allahyarham meninggal dunia di kediamannya di Kampung Melayu Ampang, di sini, pada pukul 8 pagi tadi selepas berdepan komplikasi strok sejak dua tahun lalu akibat angin ahmar.
Beliau yang pernah dimasukkan ke Hospital Ampang pada 15 Disember 2023 ditidurkan selepas dikesan mengalami jangkitan pada jantung dan paru-paru.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Norha Rafie serta mempunyai dua anak berusia lingkungan 30-an, iaitu Norismalina dan Muhammad Aliff. – KOSMO! ONLINE














