PETALING JAYA – Ibarat senasib, penyanyi Ariff Bahran menyatakan sokongan kepada pelakon Datin Intan Najuwa yang menuntut pereka fesyen, Rizman Ruzaini melangsaikan hutang berjumlah RM1.3 juta.
Kata Ariff atau nama sebenarnya, Muhammad Ariff Bahran Ahmad Azhari, 27, hutang adalah perkara yang wajib dilangsaikan tidak kira berapa pun jumlahnya tanpa perlu naik mahkamah.
“Kalau berhutang wajib bayar. Tak kisah RM1.3 juta ke RM425,000 ke 1,000 ringgit ke 400 ringgit ke.
“Kalau dah masuk mahkamah lagi banyak denda yang kau kena bayar.
“I feel you sister (saya memahami anda) @intannajuwa. Semoga berjaya,” katanya dalam hantaran di platform Threads.
Pada masa sama, Intan dilihat turut membalas perkongsian Ariff dengan mendoakan agar penyanyi terbabit juga menerima bayaran yang sepatutnya.
“Terima kasih, Saya harap awak juga mendapat hak awak semula,” katanya.
Sebelum ini, Ariff mendedahkan masih belum menerima bayaran sebanyak RM425,000 selepas menjadi mangsa penipuan seorang penganjur acara.
Peserta Famili Duo musim tiga itu bersama beberapa rakan lain menjadi penaja bagi konsert band Indonesia, Sheila On 7.
Begitupun, persembahan mega yang sepatutnya berlangsung tahun lalu tidak direalisasikan namun pengurus acara terbabit tidak memulangkan semula wang mereka.
Sejak tahun lalu Ariff sudah mendesak individu berkenaan melunaskan janji apatah lagi susulan hutang tertunggak itu menjejaskan kehidupannya serta rakan lain sehingga ada yang bercerai. – KOSMO! ONLINE














