fbpx
Abu Bakar (tengah) bersama penjawat awam negeri di Dewan 2020, Kangar hari ini.

Hentikan amalan keluar minum waktu bekerja – MB Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KANGAR – Penjawat awam di negeri ini diminta agar menghentikan serta-merta amalan keluar minum pada waktu bekerja.

Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, setiap penjawat awam wajib memelihara disiplin, imej dan profesionalisme masing-masing bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan  sentiasa terpelihara.

“Perkara ini penting kerana persepsi rakyat sangat bergantung kepada sikap dan tingkah laku penjawat awam. Apabila masyarakat melihat penjawat awam berada di luar premis pejabat pada waktu bekerja tanpa urusan rasmi, ia boleh menimbulkan tanggapan bahawa perkhidmatan kerajaan tidak bersedia atau tidak mengutamakan keperluan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Amanat Menteri Besar Perlis bersama Penjawat Awam di Dewan 2020, di sini hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, kata Abu Bakar, kerajaan negeri akan mengkaji dan meneliti semula proses bagi mempercepatkan sebarang permohonan pelaburan yang dibawa ke Perlis.

Kata beliau, langkah itu merupakan usaha bagi melancarkan pentadbiran negeri di samping menarik kehadiran lebih ramai pelabur ke negeri ini.

Menurutnya, kerajaan negeri juga akan memberi maklum balas dengan kadar segera sekiranya terdapat syarikat yang didapati tidak layak dalam sebarang permohonan pelaburan di Perlis.

“Kelazimannya, proses itu akan memakan masa dua hingga tiga bulan, jadi kita akan susun semula dan saya akan berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri agar proses itu dapat dipercepatkan,” katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri memandang serius aduan serta maklum balas berkaitan sikap segelintir penjawat awam yang mempersulitkan urusan pelabur dan peniaga.

Pada Jun tahun lalu, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menegur kerenah birokrasi serta budaya Little Napoleon yang didakwa wujud dalam pentadbiran Majlis Perbandaran Kangar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI