fbpx
SEBAHAGIAN aksi menarik para peserta yang menyertai kejohanan memanah anjuran Muezza Archery Academy itu. – Foto M. FIRDAUS M. JOHARI

Cungkil bakat pemanah masa depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEJOHANAN Muezza Archery Championship 2025 yang dianjurkan oleh Muezza Archery Academy di Shah Alam, Selangor baru-baru ini menyaksikan penyertaan memberangsangkan kanak-kanak dan remaja iaitu seramai 573 peserta.

Kejohanan itu bertujuan mencari pemanah muda yang berpotensi mewakili negara pada masa hadapan.

Bagi kategori Open Under 18 Perempuan, Nur Nazurah Qahirah Mubin yang mewakili Klang Archery muncul sebagai juara.

Nur Nazurah Qahirah yang berasal dari Klang berkata, kemenangan itu sesuatu yang di luar jangkaannya kerana dia hanya menyasarkan tempat kedua memandangkan prestasinya di peringkat separuh akhir kurang memuaskan.

“Walaupun prestasi separuh akhir kurang memuaskan, namun saya berjaya membuat comeback di peringkat final. Perlawanan akhir sangat sengit dengan berlaku kejar-mengejar mata antara peserta.

“Saya membuat perubahan teknik semasa perlawanan, khususnya pada hooking dan grip hasil nasihat bapa yang juga merupakan jurulatih peribadi saya.

“Latihan khusus saya hanya bermula pada minggu kejohanan dan ini adalah penyertaan kali pertama saya. Sebab itu, saya tak sangka boleh menang,” kata Nur Nazurah kepada K-Remaja.

PARA pemenang dalam kejohanan Muezza Archery Championship 2025 bergambar kenangan.

Sementara itu bagi kategori sama, Nurin Iman Mohamed Sham yang mewakili Waw Archery Club meraih tempat kedua dan Izzah Insyirah Mohd. Yusmin daripada Port Dickson Archery Club pula meraih ketiga.

Dalam pada itu, bagi kategori Open Under 18 Lelaki, gelaran juara diraih oleh Muhamad Hazieq Mohamad Nizam yang mewakili Muezza Archery Club. Tempat kedua menjadi milik Kristen Anthony Samuel daripada The Kilau

Archery Club, manakala tempat ketiga diraih oleh Tajul Ammar Qhalif Azamil yang mewakili Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Serdang.

Muhamad Hazieq yang pernah mewakili Kedah dalam kejohanan bertaraf Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) mengakui hanya berlatih selama sebulan sebelum menyertai pertandingan itu kerana perlu menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pemuda berusia 17 tahun itu menjalani latihan dengan memanah kira-kira 200 anak panah sehari, selain menumpukan perhatian kepada body form dan sudut panahan yang betul.

Biarpun yakin dengan kemampuan, namun kemenangan itu baginya tetap dianggap satu kejutan kerana pesaing dalam kumpulan lawan (Kumpulan A) sangat kuat.

“Perlawanan berlangsung sengit sehingga lima pusingan. Alhamdulillah, saya berjaya menang kesemua pusingan.

“Prestasi saya tidak sepenuhnya konsisten, dengan markah sekitar 22 hingga 29 mata.

“Semasa final dengan Anthony, berlaku kejar mengejar mata. Mula-mula saya mendahului, kemudian lawan kejar dan akhirnya saya kejar balik sehingga menang.

“Kemenangan ini sebenarnya satu kejutan kerana lawan dalam Kumpulan A sangat kuat dan saya sendiri tidak menjangkakan menang,” katanya.

SERAMAI 573 peserta telah menyertai kejohanan Muezza Archery Championship 2025 yang berlangsung di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Untuk makluman, pertandingan peringkat akar umbi ini dibahagikan kepada kategori Pembangunan dan Novice.

Kategori Pembangunan menggunakan jarak panahan tujuh meter dengan setiap peserta perlu melepaskan tiga anak panah setiap pusingan.

Pemenang akan ditentukan berdasarkan mata tertinggi selepas 10 pusingan selesai.

Sementara itu, kategori Novice pula menggunakan jarak panahan 10 meter dengan 10 pusingan yang menampilkan format kalah mati untuk menentukan juara.

Bagi kategori Terbuka, pertandingan berlangsung sepanjang tiga hari dengan pecahan umur bawah 11 tahun, 14 tahun dan 18 tahun.

Para peserta bersaing pada jarak 18 meter melalui pusingan kelayakan sebelum memasuki peringkat kalah mati.

Peserta yang berjaya memperoleh enam mata dahulu akan diumumkan sebagai pemenang.

Sekiranya mata terikat, jumlah anak panah yang terkena bahagian ‘X’ akan menentukan juara. Format pertandingan mengikut standard antarabangsa.

Pemenang tempat pertama hingga ketiga membawa pulang wang kemenangan dan juga trofi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN