fbpx
Anggota bomba dan petugas Jakoa mengangkat bekalan makanan ke dalam helikopter Unit Udara JBPM di padang Sekolah Menengah Sains Gua Musang, Gua Musang hari ini. Foto oleh AIMUNI TUAN LAH/KOSMO!

Lebih 17 tan bekalan makanan dihantar ke pos Orang Asli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Lebih 17 tan bekalan bakul makanan untuk 956 keluarga Orang Asli di lima buah pos pedalaman di sini dihantar menggunakan helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bermula hari ini.

Bekalan makanan seperti beras, minyak masak, gula, tepung gandum dan barangan makanan lain itu dihantar kepada Orang Asli di Pos Gob, Pos Simpor, Pos Belatim, Pos Balar dan Pos Bihai yang terjejas jalan perhubungan akibat musim tengkujuh.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi Bahagian Udara, Penguasa Kanan Bomba I (PgKB I) Mohd. Ruzaidi Ramlee berkata, operasi itu menggunakan sebuah helikopter Mi-17-IV milik Unit Udara JBPM dari Pangkalan Udara Wilayah Tengah.

Katanya, operasi penghantaran bakul makanan di lima buah pos itu bermula hari ini dan dijangka berakhir pada 9 Januari.

“Operasi dijangka memakan masa selama empat hari itu melibatkan 22 kru penerbangan serta mendapat kerjasama kakitangan Jabatan Kebajikan Orang Asli (Jakoa).

“Operasi hari ini dimulakan dengan menghantar 203 bakul makanan ke Kampung Tendrik, Pos Bihai. Keadaan cuaca yang sedikit berawan dan rendah menyebabkan pihaknya hanya dapat menghantar 3.6 tan makanan ke satu lokasi sahaja hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di padang Sekolah Menengah Sains Gua Musang di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Kampung Tendrik, Apek Asud berkata, musim tengkujuh memberi kesan besar kepada penduduk Orang Asli di kawasan pedalaman yang tidak dapat keluar ke bandar mendapatkan bekalan makanan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI