KUALA LANGAT – Tiga pelancong dari Singapura antara lima individu terbaharu dikenakan notis kompaun membuang sampah kecil merata-rata di Johor, semalam.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, maklumat terbaharu itu diterima beliau daripada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) yang menjalankan pemeriksaan di negeri berkenaan.
“Mereka ingat (cuma) jaga kebersihan di Singapura, masuk Johor Bahru terus buang. Dulu boleh, sekarang tidak boleh.
“Kita mahu Singapura bersih, Malaysia lagi bersih,” katanya ketika berucap pada merasmikan Majlis Sentuhan Kejayaan Jabatan Kerajaan Tempatan 2025 di Gerai Penjaja Sungai Jarom di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, setakat ini seramai 120 ulat sampah telah dikenakan notis kompaun dan tindakan perundangan seterusnya akan dilaksanakan Jabatan Peguam Negara (AGC).
Tegas Kor Ming, hukuman bagi mereka adalah denda antara RM2,000 hingga RM10,000 dan 12 jam khidmat masyarakat yang dipantau petugas SWCorp.
“Puntung rokok pun termasuk (sampah kecil dikenakan tindakan). Sebab itu, saya hendak berikan kesedaran sivik kepada rakyat Malaysia dan telah masuk 44 tahun berkaitan Dasar Pandang ke Timur.
“Belajar dari Jepun termasuk aspek kebersihan. Kalau pergi Tokyo, tiada tong sampah disebabkan mereka sayang alam sekitar dan bawa beg sendiri. Ada puntung rokok, botol plastik masuk dalam beg dan sampai rumah baru buang,” katanya.
Ketika ditanya mengenai pelaksanaan terhadap lima negeri yang tidak tertakluk dibawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), Kor Ming memaklumkan penguatkuasan akan dilakukan pihak berkuasa tempatan.
Untuk rekod, lima negeri tersebut adalah Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu dan Selangor. – KOSMO! ONLINE














