MARANG – Gara-gara terlalu takut dikenakan tindakan perundangan kerana dituduh kononnya terlibat rasuah dan pengubahan wang haram, seorang pesara berputih mata apabila kerugian RM658,520 selepas diperdaya sindiket penipuan.
Lelaki berusia 68 tahun tersebut yang menyedari tertipu kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Marang, Superintendan Mohd. Sofian Redzuan berkata, pada mulanya, pesara tersebut dihubungi individu tidak dikenali yang mengaku kononnya pegawai polis pada 8 Disember lalu.
“Mangsa terkejut didakwa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan rasuah. Dia yang ketakutan akur dengan membuka akaun bank baharu dan memindahkan kesemua simpanannya pada 14 Disember lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE














