KUALA LUMPUR – Tekong berpengalaman negara, Muhammad Syahir Mohd. Rosdi mencipta sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai Tekong Terbaik Dunia, hasil prestasi konsisten di pentas antarabangsa sejak dua tahun lalu.
Pengiktirafan berprestij itu diumumkan oleh Setiausaha Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF), Datuk Abdul Halim Kader yang menyifatkan pemain berusia 30 tahun itu sebagai antara tekong paling digeruni di peringkat dunia, khususnya menerusi kualiti servis serta ketenangan mengawal permainan dalam perlawanan berintensiti tinggi.
Kecemerlangan Syahir turut menjadi faktor penting kejayaan Malaysia menamatkan kemarau pingat emas apabila membantu negara menjuarai acara regu dan regu berpasukan pada Sukan SEA Thailand 2025 selain penampilan memukau pada Piala Dunia Kuala Lumpur 2024 dan Piala Asia Kuala Lumpur 2025.
Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd. Sumali Reduan menyifatkan pengiktirafan tersebut amat wajar diberikan kepada Syahir yang disifatkan sebagai lambang kebangkitan dan disiplin tinggi seorang atlet profesional.
“Memang selayaknya dia menerima pengiktirafan itu berdasarkan prestasi semasa. Perjalanan Syahir bukan mudah dan penuh cabaran, termasuk pernah melalui episod penggantungan.
“Namun kesungguhan, disiplin serta inisiatif untuk terus meningkatkan tahap permainan membolehkannya mencapai momentum terbaik pada usia 30 tahun. Ini seharusnya menjadi contoh dan inspirasi kepada pemain muda,” katanya ditemui selepas sidang media khas PSM dan ISTAF, hari ini.
Dalam perkembangan berasingan, Sumali turut mengesahkan Malaysia bakal menjadi tuan rumah Piala Dunia Sepak Takraw ISTAF 2026 yang dijadualkan berlangsung di Stadium Titiwangsa pada 15 hingga 24 Mei ini.
Penganjuran kali ini yang turut diadakan bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 bakal menyaksikan penyertaan rekod 26 negara yang akan ‘berkampung’ di Kuala Lumpur selama 10 hari.
Kejohanan utama tersebut dibahagikan kepada dua kategori iaitu Divisyen Premier yang membabitkan 14 pasukan terbaik dunia dan Divisyen 1 yang meliputi 12 pasukan.
Bagi kategori Premier, senarai negara yang bertanding adalah Malaysia, Thailand, Singapura, Indonesia, India, Korea Selatan, Jepun, Brunei, Filipina, Myanmar, Vietnam, China, serta dua pasukan yang dinaikkan pangkat dari Divisyen 1 iaitu Iran dan Taiwan.
Manakala bagi Divisyen 1, negara-negara yang terlibat ialah Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Nepal, Kanada, Poland, Perancis, Iraq, Amerika Syarikat (USA), Timor Leste, Arab Saudi dan Oman. -KOSMO! ONLINE














