fbpx
REGU berpasukan mencipta sejarah gemilang apabila berjaya menamatkan penantian selama 34 tahun untuk meraih emas di Sukan SEA.

Thailand mula kaji servis tekong Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUKAN SEA 2025 yang berlangsung penuh meriah di Bangkok, Thailand telah melabuhkan tirainya secara rasmi pada hujung minggu lalu.

Pada temasya dwitahunan itu, kontinjen negara berjaya membawa pulang 57 pingat emas, 57 perak dan 117 gangsa, sekali gus melepasi sasaran 200 pingat.

Lebih manis, pingat emas ke-57 negara disumbangkan oleh skuad sepak takraw yang berjaya meraih emas dalam acara regu selepas menundukkan Vietnam pada perlawanan akhir.

Menariknya, skuad takraw negara berjaya menenggelamkan ego Thailand di gelanggang sendiri dengan meraih dua pingat emas menerusi acara regu lelaki dan regu berpasukan lelaki.

Bagi acara regu berpasukan, skuad bimbingan jurulatih, Ahmad Jais Baharun itu telah mencipta sejarah gemilang apabila berjaya menamatkan penantian selama 34 tahun untuk meraih emas di Sukan SEA.

Kali terakhir kilauan emas acara itu diterjemahkan adalah pada edisi Manila 1991 di Filipina dan kejayaan tersebut dilakar ketika Ahmad Jais masih berada dalam pasukan dengan beraksi selaku tekong.

Untuk makluman, perseteruan antara Malaysia dan Thailand dalam sepak takraw di Sukan SEA telah berlarutan sejak tahun 60-an selepas sukan itu dipertandingkan buat pertama kali pada Sukan SEAP 1965 di Kuala Lumpur.

Sejak itu, perseteruan antara Malaysia-Thailand dalam acara tersebut sentiasa menjadi tumpuan peminat di kedua-dua negara. Ini memandangkan takraw bukan saja sukan, sebaliknya ia adalah tradisi yang telah dimainkan oleh masyarakat di kedua-dua negara sejak Zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi.

Bahkan, nama rasmi sukan tersebut turut diambil daripada gabungan perkataan yang digunakan di kedua-dua negara. Di Malaysia, sukan berkenaan dikenali sebagai sepak raga, manakala Thailand memanggil permainan tersebut takraw. Maka, sukan berkenaan dikenali sebagai sepak takraw.

Biarpun telah seminggu berakhir, namun masyarakat di rantau ini terutamanya di Malaysia dan Thailand masih memperkatakan mengenai kehebatan skuad sepak takraw negara. Ketika ini, laman media sosial di Thailand hangat memperkatakan mengenai kehebatan tekong emas negara, Syahir Mohd. Rosdi.

Video-video pendek yang memaparkan aksi hebat Syahir membuat servis tular di Thailand dan mendapat banyak ‘like’ serta maklum balas positif daripada peminat takraw di sana.

Siapa sangka, Thailand yang suatu ketika dahulu menjadi pelopor servis kuda menerusi tekong utama mereka, Suebsak Phunsueb akhirnya terpaksa mengakui kehebatan tekong dari Malaysia.

Hasil pemerhatian penulis, servis Syahir tidak selaju servis kuda dari Thailand.

Namun, bola yang dilibas sukar untuk diangkat oleh pemain lawan disebabkan putaran bola di udara. Selain itu, variasi bola daripada ‘killer’ negara, Azlan Alias turut tular di Thailand. Peminat di sana melihat bola-bola dilibas oleh Azlan lebih variasi berbanding killer mereka yang mempraktikkan teknik gulung semata-mata.

Biarpun ramai pihak gembira dan bangga dengan kejayaan skuad sepak takraw negara ketika ini, namun penulis tetap bimbang dengan kebangkitan Thailand pada masa depan.

Negara jiran kita itu pastinya tidak akan berdiam diri, sebaliknya mereka akan bangkit lebih kuat selepas ini. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN