fbpx
Wan Norizan menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas oleh pihaknya di Taman Desa Petaling, baru-baru ini.

Syabu RM353,000 ‘parking’ dalam kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Cubaan menyembunyikan dadah jenis syabu di dalam sebuah kereta yang diparkir di kawasan pangsapuri terbongkar selepas serbuan dilakukan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pengarah Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wan Norizan Wan Daud berkata, operasi pukul 3 pagi pada 25 November lalu itu dilancar hasil maklumat awam di Taman Desa Petaling, Selangor.

Katanya, pemeriksaan ke atas kenderaan jenis Perodua Bezza menemukan bahan kristal disyaki syabu dengan anggaran berat 11.031 kilogram dan nilai RM352,992.

“Dadah tersebut ditemui di dalam dua beg runcit yang diletakkan pada tempat duduk belakang. Kenderaan terbabit turut disita bagi membantu siasatan,” katanya hari ini.

Beliau berkata, syabu dikategorikan sebagai dadah berbahaya di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala seorang lelaki tempatan yang juga pemilik kereta berkenaan telah ditahan reman.

Menurutnya, modus operandi dikesan adalah menyimpan dadah di dalam kenderaan yang diletakkan di parkir awam bagi mengelakkan perhatian penduduk dan pihak berkuasa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, selain tidak kurang 12 sebatan jika disabitkan kesalahan,” ujarnya.

Wan Norizan turut menggesa orang ramai terus menyalurkan maklumat bagi membantu membanteras aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah.

“Penyeludupan bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, malah mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

“Orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat Kastam terdekat. Identiti pemberi maklumat dirahsiakan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI