KANGAR – Kegiatan seorang remaja lelaki yang disyaki ‘mengutip’ petrol di stesen-stesen minyak sekitar Padang Besar sebelum menjual bahan api itu di Thailand tumpas apabila dia ditahan pada semalam.
Suspek berusia 17 tahun dan tidak mempunyai lesen memandu itu ditahan anggota penguat kuasa Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis di sebuah stesen minyak di Padang Besar.
Pengarah Pejabat KPDN negeri, Rohaida Hassan berkata, anggota penguat kuasa bertindak menahan kereta jenis Proton Wira dinaiki suspek kerana disyaki mempunyai tangki yang diubah suai.
Katanya, risikan selama dua minggu itu mengesyaki suspek membuat pembelian petrol di stesen-stesen minyak sekitar Padang Besar untuk diselewengkan.
“Pemeriksaan awal terhadap kenderaan berkenaan menemui tangki yang telah diubah suai dan berisi cecair yang disyaki petrol.
“Dianggarkan sebanyak 100 liter petrol dijumpai di dalam tangki yang telah diubah suai itu dengan nilai rampasan petrol dianggarkan RM265,” ujarnya.
Difahamkan, modus operandi suspek adalah membeli petrol di stesen-stesen minyak di Padang Besar sebelum menjualnya kepada pihak ketiga di Thailand.
Suspek disyaki membeli petrol RON95 pada harga biasa, bukan harga Budi Madani RON95 (Budi95).
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. – KOSMO! ONLINE














