PETALING JAYA – Kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa UMNO akan terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal merupakan hasil perbincangan menyeluruh mesyuarat Biro Politik UMNO semalam.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu seperti yang disuarakan oleh semua kepimpinan tertinggi parti termasuk Pengerusi-Pengerusi Perhubungan UMNO.
“Kenyataan Presiden UMNO merupakan hasil perbincangan tuntas dan menyeluruh yang disuarakan oleh semua kepimpinan tertinggi parti dalam Biro Politik termasuk Pengerusi-Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri demi rakyat dan negara,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Ahmad Zahid dipetik sebagai menegaskan: “Kita tidak mahu dipatuk oleh ular yang sama bagi kali yang kedua di tempat yang sama”
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, UMNO tidak mahu ‘pisang berbuah dua kali’ khususnya dalam hubungan politik.
Menurutnya, UMNO tidak mahu dikhianati oleh pihak yang sama dan tidak mahu episod itu berulang kembali.
“Kita tidak mahu bernostalgia menggunakan apa-apa nama yang pernah dicadangkan dahulu dan kita belum memutamadkannya lagi.
“Itu sebabnya perincian penting kerana kita tidak mahu dipatuk oleh ular yang sama bagi kali yang kedua di tempat yang sama,” katanya.
Beliau mengulas berhubung desakan supaya UMNO dan PAS menghidupkan semula kerjasama menerusi Muafakat Nasional (MN) – KOSMO! ONLINE














