ISTANBUL – Global Sumud Flotila (GSF) merancang untuk belayar sekali lagi ke Semenanjung Gaza yang musnah akibat peperangan pada musim bunga akan datang dengan penyertaan antarabangsa yang lebih luas, lapor agensi berita Anadolu semalam.
Menurut penyelaras misi itu di Turkiye, Huseyin Durmaz, syarat-syarat gencatan senjata yang dikuakuasakan pada Oktober tahun lalu masih tidak lagi dilaksanakan dan keperluan kemanusiaan di wilayah tersebut juga belum dipenuhi.
Durmaz berkata, walaupun ratusan trak bantuan dijanjikan setiap hari di bawah rangka kerja gencatan senjata itu, hanya sekitar 40 hingga 50 trak yang membawa bekalan kemanusiaan memasuki Gaza setiap hari.
Beliau berkata, kebanyakan trak yang memasuki wilayah itu adalah bersifat komersial, walaupun penduduk tidak mempunyai kuasa beli untuk mendapatkan barangan susulan meluasnya kemusnahkan akibat peperangan.
“Kita bercakap tentang sebuah bandar yang telah musnah sepenuhnya akibat pembunuhan beramai-ramai.
“Kami melihat bahawa dalam bulan-bulan musim bunga akan datang, banyak inisiatif baharu dan gabungan besar akan terbentuk untuk menyalurkan bantuan ke Gaza.
“Keadaan ini berlaku kerana (syarat-syarat) gencatan senjata tidak dilaksanakan dan keperluan rakyat Gaza tidak dipenuhi.” katanya sambil menambah bahawa satu misi baharu lebih besar adalah perlu dihantar ke wilayah Palestin itu.
Menurut beliau, Israel mungkin sedang melaksanakan usaha dan akhirnya akan memaksa penduduk keluar dari Gaza.
Durmaz berkata, misi seterusnya dijangka melibatkan penyertaan lebih banyak negara berbanding flotila sebelum ini dan mereka telah melancarkan inisiatif untuk memperkukuh serta memperbaharui pasukan.
Pada Oktober tahun lalu, tentera laut Israel menyerang dan merampas lebih 40 buah bot yang merupakan sebahagian daripada flotila bantuan kemanusiaan Global Sumud yang menuju ke Gaza.
Tel Aviv menahan lebih 450 aktivis yang berada di atas bot tersebut dan ramai antara mereka menceritakan pengalaman ngeri penderaan di tangan penawan Israel.
Israel telah mengekalkan sekatan ke atas Gaza yang menempatkan hampir 2.4 juta penduduk, selama hampir 18 tahun.
Ia turut memperketatkan kepungan pada Mac tahun lalu apabila menutup lintasan sempadan dan menyekat penghantaran makanan termasuk ubat-ubatan, sekali gus mendorong wilayah itu sedang menuju ke arah kebuluran. – AGENSI














