KUALA LUMPUR – Ditebak intim dengan pelakon Chacha Maembong, aktor Andy Teh, 40, mengakui mereka berkawan baik sekali gus masih dalam fasa mengenali hati budi.
Andy, 41, berkata, masing-masing kini fokus terhadap kerjaya seni namun tidak menolak andai ditakdirkan berjodoh suatu hari nanti.
“Buat waktu ini kami hanya berkawan, kiranya dalam fasa berkenalan tetapi jika takdir menentukan hubungan kami ke fasa serius, kita tak boleh tolak.
“Cuma sekarang saya tak berani cakap lebih kerana kami tak pernah ‘declare’ pun apa-apa kerana setuju untuk jaga kerjaya masing-masing.
“Belum masa untuk kongsi apa-apa lagi. Itu saja yang saya boleh jawab setakat ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Black Ops di sini, hari ini.
Mengakui sudah lama mengenali adik kepada pelakon Emma Maembong ketika terbabit dalam satu acara, Andy selesa berkawan dengan Chacha yang dikatakan memiliki personaliti istimewa.
“Memang dia mempunyai kriteria wanita idaman saya. Tapi sekarang kami berkawan saja.
“Dia juga seorang yang baik. Bukan apa, takut benda yang tak pasti nanti boleh menjadi fitnah. Itu kita kena elakkan,” ujarnya
Pada masa sama, ditanya kesediaan memeluk Islam, lelaki Tionghua itu menyatakan masih terlalu awal untuk mengulas hal terbabit.
“Itu antara soalan yang berlegar dalam fikiran sebab ibu bapa saya penganut Buddha yang kuat.
“Bapa juga sebenarnya pernah tanya andai saya bercinta dengan wanita Melayu adakah saya akan masuk Islam.
“Bagi saya kita kenalah ikut undang-undang (peraturan agama). Bagi saya tiada masalah kalau jodoh saya wanita Muslim.
“Kalau benda nak jadi, akan jadi. Dalam dua tiga tahun ni memang saya fokus pada kerjaya. Cinta akan datang sendiri, jadi saya ikut saja ketentuan,” katanya.
Terdahulu, timbul desas-desus Andy bercinta dengan Chacha atau nama lengkapnya Siti Aishah Ismail, 29.
Sementara itu, menerusi naskhah aksi arahan Syafiq Yusof dan sutradara Hong Kong, Chi Yiu Chui, Andy memegang karakter sebagai pegawai polis.
Filem yang bakal menjalani penggambaran selama tiga bulan itu turut dibintangi Datuk Aaron Aziz, Sharnaaz Ahmad, Hisham Hamid dan Elizabeth Tan. – KOSMO! ONLINE














