fbpx
Cef Yohanis menunjukkan pelbagai juadah ketika pelancaran bufet Ramadan di Saffron Brasserie, AnCasa Hotel Kuala Lumpur. Foto oleh SADDAM YUSOFF

Bufet Ramadan AnCasa Hotel Kuala Lumpur tampil kepelbagaian citarasa Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Bufet Ramadan 2026 di AnCasa Hotel Kuala Lumpur yang merupakan rangkaian hotel UDA Holdings Berhad (UDA), tahun ini menampilkan dua konsep warisan istimewa menerusi dua restoran ikoniknya, Saffron Brasserie membawa tema Warisan AnCasa serta Restoran Madam Zee mengetengahkan Warisan Peranakan.

Pelancaran bufet Ramadan mencerminkan komitmen berterusan AnCasa Hotel Kuala Lumpur dalam memelihara dan mengetengahkan kepelbagaian budaya serta tradisi kulinari Malaysia melalui pengalaman berbuka puasa yang autentik, bernilai dan inklusif sepanjang Ramadan.

Menurut Naib Presiden Kanan Bahagian Hospitaliti, AnCasa Hotels & Resorts, Shah Azam Khan Noor Mohammad, konsep bufet Ramadan tahun ini dirangka bagi memberikan pengalaman yang lebih bermakna kepada pelanggan.

“Ramadan bukan sekadar tentang juadah, tetapi tentang kebersamaan, tradisi dan kenangan.

“Tahun ini kami membawakan pengalaman bufet yang lebih istimewa dengan memperkenalkan dua konsep warisan berbeza iaitu Warisan AnCasa dan Warisan Peranakan sebagai penghargaan terhadap kepelbagaian budaya serta cita rasa autentik yang menjadi identiti AnCasa Hotels & Resorts,” katanya.

Antara juadah yang disediakan sempena bufet Ramadan di Madam Zee Bab Nyonya Cusine, AnCasa Hotel Kuala Lumpur. Foto oleh SADDAM YUSOFF

Di Saffron Brasserie, bufet Ramadan Warisan AnCasa mengetengahkan sajian tradisional Melayu berteraskan resipi kampung dan hidangan nostalgia yang sesuai dinikmati seisi keluarga.

Antara menu istimewa ialah Nasi Lemuni, Ayam Rendang Daun Maman, Daging Kandar, Ikan Kari Kampung, Sambal Udang Petai, Sayur Jantung Pisang Lemak Putih, Kambing Gulai Kawah, Ikan Bakar, Sup Gear Box Kambing serta pencuci mulut istimewa Apam Balik AnCasa.

Sajian turut diperkaya dengan menu popular Pakistan seperti Bathura, Panni Puri, Dhall Tarka dan Ayam Madras.

Chef Eksekutif AnCasa Hotel, Cef Yohanis Jalaludin yang berpengalaman hampir 40 tahun berkata, konsep warisan diketengahkan berdasarkan maklum balas pelanggan yang mahukan hidangan sukar ditemui.

“Terdapat lebih 100 jenis menu termasuk pembuka selera, selain beberapa gerai istimewa seperti sotong kangkung menggunakan sayuran segar yang ditanam (sendiri di hotel) secara hidroponik,” jelasnya.
Bagi Warisan AnCasa, baucar tempahan awal ditawarkan pada harga RM88 seorang sebelum 1 Februari 2026, manakala harga biasa ialah RM98 bagi dewasa, RM78 warga emas dan RM58 kanak-kanak.

Sementara itu, Restoran Madam Zee pula menampilkan bufet Ramadan bertemakan Warisan Peranakan yang menonjolkan kehalusan masakan Nyonya berasaskan resipi tradisi turun-temurun.

Antara hidangan utama termasuk Nasi Kemuli, Kari Kepala Ikan Nyonya, Ketam Masak Cili, Masak Lemak Udang Galah Sungai, Itik Sio Nyonya, Sayur Goreng Belacan Empat Raja Melaka serta sate, selain pelbagai kuih tradisional seperti Kuih Gading Galoh, Kuih Ku Merah, Koci Pulut Hitam dan Tepung Pelita.

Cef Baba Allan Wan Lai Yuan yang berpengalaman lebih 15 tahun serta merupakan generasi keenam Peranakan Melaka berkata, bufet Warisan Peranakan ini diolah khas agar dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.

“Kari kepala ikan adalah hidangan utama dalam perayaan besar kerana melambangkan permulaan yang baik. Udang pula membawa rezeki, manakala itik antara hidangan istimewa.

Kebanyakan resipi Peranakan sukar didapati dalam versi halal, jadi kami gabungkan resipi enam generasi dengan sentuhan tangan sendiri supaya semua dapat merasainya,” katanya.

Bagi bufet Warisan Peranakan, baucar tempahan awal ditawarkan pada harga RM98 seorang sebelum 1 Februari 2026, manakala harga biasa ialah RM118 bagi dewasa, RM78 warga emas dan RM58 kanak-kanak.

Sementara itu, AnCasa Hotel Kuala Lumpur tampil dengan tawaran lebih jimat menerusi pakej Ramadhan Stay & Dine yang menggabungkan pengalaman penginapan selesa bersama juadah berbuka puasa dan sahur serendah RM338 untuk dua orang dari 21 Februari hingga 19 Mac 2026.

Untuk tempahan, hubungi 03-2026 6060 samb. 7703 atau 011-3179 4121. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI