KUANTAN – Selepas tujuh tahun melalui proses perbicaraan, bekas Ketua Balai Bomba Peramu di Pekan menzahirkan rasa syukur dengan melakukan sujud syukur di mahkamah selepas Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini membebaskannya daripada semua pertuduhan.
Sheikh Hassan Sheikh Zainuddin, 61, dilihat berjalan ke satu sudut sejurus keluar dari bilik Mahkamah dan melakukan sujud syukur.
Dia sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun serta denda RM194,062.10, oleh Mahkmah Sesyen Kuantan pada 16 Mac 2022 selepas didapati bersalah kerana menganugerahkan kontrak bekalan makanan kepada syarikat milik isterinya.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Samry Masri, hari ini membatalkan keputusan Mahkamah Sesyen itu selepas meneliti keseluruhan keterangan serta membenarkan semua rayuan yang dibuat tertuduh.
Pada 2018 Sheikh Hassan didakwa menyalahgunakan kedudukannya bagi memperoleh suapan dengan menganugerahkan kontrak kepada Puncak Cahaya Azam Enterprise, sebuah syarikat milik isterinya.
Kontrak berkenaan melibatkan penyediaan makanan untuk anggota yang terlibat dalam program dan operasi anjuran Balai Bomba dan Penyelamat Peramu antara Mac 2014 hingga 3 Ogos 2015, dengan nilai setiap kontrak antara RM1,075 hingga RM7,500.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir, manakala Sheikh Hassan diwakili peguam G. Ravishankar.
Dalam pada itu, Sheikh Hassan berkata, dia lega apabila penantian selama tujuh tahun untuk membersihkan namanya akhirnya menjadi kenyataan.
“Kes ini dibicarakan selama kira-kira empat tahun di Mahkamah Sesyen, diikuti tiga tahun di Mahkamah Tinggi. Alhamdulillah saya amat bersyukur dengan keputusan hari ini,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE














