SEBERANG PERAI – Dua lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes serangan berkumpulan dengan bersenjatakan parang sehingga mengakibatkan seorang lelaki maut di sebuah restoran di Sungai Bakap, Selasa lalu, disambung reman enam hari lagi.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nurul Ainna Ahmad bermula esok hingga Isnin depan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, kedua-dua suspek berusia 23 dan 36 tahun itu tiba di Mahkamah Majistret Jawi di sini kira-kira pukul 9 pagi dalam keadaan tangan bergari dan dikawal ketat anggota polis.
Difahamkan, serangan berkumpulan yang mengorbankan mangsa lelaki berusia 59 tahun itu dipercayai berpunca daripada masalah hutang.
Sementara itu, polis masih giat memburu saki-baki suspek yang dipercayai terlibat dalam insiden berkenaan selepas menahan reman 10 lagi suspek bagi siasatan, baru-baru ini.-KOSMO! ONLINE














