PETALING JAYA – Di sebalik kehilangan besar yang meragut seluruh ahli keluarganya, Puteri Qisya Nur Izzat membuktikan bahawa dia tidak keseorangan apabila mendapat sokongan berterusan daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan orang ramai yang sentiasa mendoakan masa depannya.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pemilihan Qisya ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bukan hanya kejayaan akademik semata-mata, sebaliknya lambang kasih sayang dan tanggungjawab bersama memastikan anak yatim itu terus bangkit mengejar impian.
“Qisya bukan bersendirian. Mara telah mengambilnya sebagai anak angkat dan akan memastikan perjalanan pendidikannya terpelihara melalui program Budi dan bimbingan berterusan sehingga ke peringkat tertinggi,” katanya.
Menurut beliau, lebih 100,000 permohonan diterima bagi kemasukan MRSM pada tahun ini, namun hanya 7,000 calon yang berjaya dipilih, sekali gus menjadikan pemilihan Qisya satu peluang istimewa yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya.
Asyraf Wajdi turut membuat panggilan video bersama Qisya dan neneknya, yang merupakan satu-satunya tempat untuk remaja tersebut bergantung.
“Walaupun diuji hebat pada usia muda, Qisya tetap cekal. Dia membantu nenek berniaga roti canai di Pendang dan dalam masa sama bersedia melangkah ke alam persekolahan di MRSM minggu hadapan,” ujarnya.
Beliau menasihatkan Qisya agar sentiasa percaya bahawa ilmu mampu mengubah kehidupan selain tidak melupakan doa untuk arwah ibu bapanya.
“Insya-Allah, doa kedua-dua ibu bapanya yang telah pergi akan terus mengiringi langkah Qisya. Dia kini punya keluarga besar yang sentiasa menyokong dan mendoakannya,” katanya.
Beliau mendoakan agar Qisya terus dipelihara Allah SWT, dikuatkan hatinya serta diterangi perjalanan hidupnya dengan cahaya ilmu dan masa depan yang gemilang.
“Al-Fatihah buat seluruh keluarga adik Qisya dan semoga syurga menjadi tempat mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE.














