fbpx
Pasukan Robotik Mara mengharumkan nama Malaysia dalam pertandingan robotik antarabangsa IRO 2025 di Gold Coast, Australia baru-baru ini.

Hafaz 17 juzuk al-Quran, pelajar MRSM Ulul Albab antara raih pingat robotik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASUKAN Robotik Mara dari empat buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) ‘mendunia’ apabila menuai kilauan pingat dan anugerah dalam International Robotic Olympiad (IRO) 2025 di Gold Coast, Australia baru-baru ini.

Empat MRSM terlibat ialah MRSM Tun Ghafar Baba, Melaka; MRSM Parit, Perak; MRSM Gemencheh, Negeri Sembilan dan MRSM Bentong, Pahang.

Menurut perkongsian di media sosial Majlis Amanah Rakyat (Mara), MRSM Tun Ghafar Baba berjaya merangkul pingat emas bagi kategori Creative Movie, MRSM Parit meraih perak dalam kategori Creative Technic dan gangsa kategori Creative Idea, manakala MRSM Gemencheh meraih gangsa kategori Creative Movie dan MRSM

Bentong raih anugerah antaranya Anugerah Teknikal: Physical Computing dalam IRO 2025 yang berlangsung pada 17 hingga 21 Disember tahun lalu.

Secara keseluruhan, seramai 10 orang pelajar MRSM daripada pelbagai program telah mewakili negara dan Mara dalam pertandingan itu hasil saringan melalui Robo Challenge MRSM Se-Malaysia yang diadakan pada Julai lalu.

Antara yang mencuri perhatian ialah penyertaan dua pelajar program Ulul Albab MRSM Gemencheh yang berjaya meraih pingat gangsa kategori Creative Movie dalam pertandingan robotik antarabangsa bertemakan robot angkasa itu.

Kedua-dua pelajar itu, Arif Fahmi M. Nor Azizan, 15, dan Zainab Khadijah Mohammad Amin sudah menghafaz 17 juzuk al-Quran dan sedang berusaha untuk khatam pada tahun hadapan.

Arif Fahmi berkata, ini merupakan pengalaman pertamanya ke luar negara.

Pelajar MRSM Ulul Albab Gemencheh, Arif Fahmi dan Zainab Khadijah menunjukkan pingat gangsa yang diraih mereka.

“Saya berterima kasih kepada pihak MRSM kerana memberikan peluang ini dan ini adalah pengalaman pertama saya ke luar negara sekali gus dapat mengharumkan nama negara,” kata Arif Fahmi menerusi satu kenyataan akhbar.

Dalam pertandingan itu, peserta turut diberi tugasan menyunting video berdurasi dua minit dalam tempoh empat jam sekali gus menuntut ketangkasan, kreativiti serta pengurusan masa yang cekap.

“Saya sangat terharu kerana dapat menghadiahkan kejayaan ini kepada rakyat Malaysia dan Mara.

“Ini adalah pengalaman yang sangat berharga yang tidak dapat saya lupakan kerana dapat berkenalan dan bertanding dengan rakan seusia dari pelbagai negara,” kata Zainab Khadijah pula.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru Muafakat MRSM Gemencheh, Hasrul Faiz Ramli menzahirkan rasa terharu kerana pelajar Ulul Albab ini cemerlang dan mampu membahagikan masa antara hafalan Al-Quran dengan cabaran teknikal robotik.

“Kami amat berbangga dengan pencapaian ini dan sentiasa menyokong penuh inisiatif yang menggabungkan kecemerlangan akademik, sahsiah dan kemahiran teknologi,” kata Hasrul Faiz.

Menurutnya, robot yang dihasilkan bergerak menggunakan pengaturcaraan yang telah ditetapkan dan berjaya menjalankan misi di angkasa membantu angkasawan membina penempatan di Marikh mengikut tema yang ditetapkan.

Penghargaan turut dirakam pihaknya kepada guru pengiring, Muhamad Nordin Kasmon yang telah menguruskan penyertaan pasukan pelajar MRSM Gemencheh dengan jayanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN