SHAH ALAM – Pihak produksi Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) mengakui cakna dengan respons segelintir penonton berhubung isu peribadi melibatkan peserta, Nubhan, namun menegaskan perkara tersebut tidak menjadi alasan untuk menggugurkan penyertaan penyanyi itu daripada pertandingan.
Meskipun berdepan desakan netizen agar Nubhan diboikot, Pengurus Saluran Astro Ria, Idlan Zahari, berkata, sepanjang 10 minggu penyertaan penyanyi itu dalam program berkenaan, dia tidak melakukan sebarang pelanggaran syarat atau peraturan pertandingan.
“Kami faham keprihatinan penonton, khususnya apabila isu peribadi peserta menjadi perhatian.
“Tapi satu perkara yang harus diingatkan, setakat ini Nubhan tidak melanggar apa-apa syarat pertandingan.
“Jadi secara teknikal, statusnya masih peserta, maka dia masih layak untuk terus berada dalam GV12,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambah Idlan, reaksi penonton dan isu peribadi peserta berada di luar kawalan pihak produksi, namun fokus utama tetap diberikan terhadap kualiti persembahan di pentas.
“Perkara melibatkan kehidupan peribadi dan kritikan penonton bukan di bawah kawalan kami.
“Apa yang mampu kami pastikan hanyalah mutu persembahan di pentas setiap minggu. Setakat ini, tiada sebarang kenyataan daripada Nubhan untuk berhenti,” ujarnya usai tamat konsert minggu suku akhir, di sini, malam tadi.
Pada konsert minggu suku akhir bertemakan Kengkawan, Nubhan tampil cemerlang menerusi lagu Masih Aku Terasa nyanyian asal kumpulan Gersang, sekali gus meraih tempat kedua dengan markah 70 peratus.
Sejak minggu lalu, Nubhan menjadi perhatian apabila tindakannya mengeluarkan barangan peribadi milik bekas isteri bersama anak-anak dari kediaman tanpa pengetahuan mereka mengundang kecaman hebat netizen.
Rata-ratanya meluahkan rasa tidak puas hati dan menganggap tindakan tersebut keterlaluan, malah ada mendesak agar program berkenaan diboikot serta meminta Nubhan menarik diri daripada GV12. – KOSMO! ONLINE














