fbpx
Mohamad Sabu

Kebajikan rakyat teras pentadbiran negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

 

PETALING JAYA – Kebajikan rakyat terus menjadi teras pentadbiran negara melalui pelaksanaan bantuan bersasar, sokongan terhadap kos sara hidup, peningkatan gaji penjawat awam serta pengukuhan inisiatif dalam sektor pendidikan dan kesihatan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah itu bertujuan memastikan hasil pertumbuhan ekonomi negara dapat dinikmati secara lebih adil oleh semua lapisan masyarakat.

Beliau berkata, pada masa sama , usaha reformasi dan pelbagai inisiatif kerajaan diharap dapat terus memperkukuh masa depan Malaysia yang lebih adil, mampan dan bermaruah.

“Pagi tadi, Bang Mat hadir ke Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama Jemaah Menteri dan warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Januari, yang turut disertai Amanat Tahun Baharu 2026.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim, memperincikan hala tuju dan inisiatif utama yang akan menggerakkan pentadbiran Kerajaan Madani sepanjang tahun 2026, dengan penekanan terhadap usaha reformasi berterusan bagi membina semula institusi negara serta memastikan kepimpinan dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Mohamad berkata, antara reformasi utama yang digariskan termasuk pemisahan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara, had tempoh jawatan Perdana Menteri, penubuhan institusi Ombudsman serta penggubalan Akta Kebebasan Maklumat bagi mengukuhkan asas negara hukum yang telus dan berintegriti.

“Kerajaan Madani turut memberi fokus kepada peningkatan kecekapan pentadbiran melalui pemerkasaan pendigitalan perkhidmatan awam, penambahbaikan birokrasi serta penyegerakan pelaksanaan projek rakyat seperti pembaikan sekolah dan klinik daif, penutupan jalan berlubang dan penambahan lampu jalan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI