JAKARTA – Seorang wanita mengalami kerugian sebanyak 1.4 juta rupiah (RM340) apabila ikan-ikan yang dibeli dari sebuah pasar ditukarkan dengan ikan busuk oleh penjual, lapor portal berita Netral.
Kejadian berlaku di Muara Angke, Jakarta Utara, baru-baru ini.
Wanita itu memberitahu, dia datang ke pasar tersebut untuk membeli makanan laut seperti ikan tenggiri, kembung dan siakap merah.
“Saya telah memilih ikan-ikan yang segar. Selepas ditimbang dan dibawa pulang ke rumah, saya mendapati kesemua makanan laut itu ditukarkan dengan yang busuk.
“Ikan siakap merah yang dibeli pada harga 75,000 rupiah (RM18) satu kilogram sudah busuk kerana matanya keruh,” katanya.
Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @yainiina menunjukkan insang dan sisik yang berwarna merah menyala, dipercayai diwarnakan oleh penjual untuk kelihatan segar.
Rakaman itu mencatatkan lebih 200,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Pulangkan semula ikan-ikan itu!” kata seorang netizen. – AGENSI














