PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan rasmi ke Turkiye dari 6 hingga 8 Januari ini sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Turkiye yang telah lama terjalin.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, sepanjang lawatan rasmi itu, Anwar dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan dan bersama-sama mempengerusikan Majlis Kerjasama Strategik Tahap Tinggi (High-Level Strategic Council) antara kedua-dua negara.
“Penubuhan mekanisme ini mencerminkan komitmen bersama Malaysia dan Turkiye dalam mempertingkatkan kerjasama strategik secara lebih tersusun dan menyeluruh.
“Lawatan ini turut merangkumi perbincangan mengenai kerjasama dalam pelbagai bidang yakni perdagangan dan pelaburan, industri pertahanan, teknologi, pendidikan serta hubungan antara rakyat,” katanya pada taklimat Pejabat Perdana Menter di sini hari ini.
Tunku Nashrul berkata, Perdana Menteri juga dijadual menyampaikan syarahan umum dan mengadakan sesi libat urus bersama komuniti perniagaan Turkiye serta diaspora Malaysia.
“Selain program rasmi di Ankara, lawatan ke Istanbul akan memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama ekonomi melalui sesi meja bulat bersama syarikat-syarikat Turkiye, di samping berinteraksi bersama media bagi menjelaskan hala tuju hubungan Malaysia–Turkiye.
“Secara keseluruhan, lawatan rasmi ini mencerminkan keazaman Kerajaan Madani untuk terus memperluas jaringan kerjasama antarabangsa yang strategik, pragmatik dan berorientasikan hasil, berteraskan prinsip Malaysia Madani demi manfaat jangka panjang rakyat dan negara,” katanya.
Dalam pada itu katanya, kerajaan pada tahun ini komited dalam memperkukuhkan komunikasi strategik sebagai jambatan utama antara dasar dan rakyat bagi memastikan setiap maklumat disampaikan secara jelas, konsisten dan berfakta.
Beliau berkata, usaha itu juga bertujuan memudahkan rakyat mengakses perkhidmatan serta peluang yang disediakan kerajaan tanpa sebarang kekeliruan.
“Tahun ini juga membawa tumpuan baharu melalui Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Inisiatif ini bukan sahaja usaha untuk merancakkan pelancongan, tetapi sebagai peluang untuk menggerakkan ekonomi tempatan, memperkukuh ekosistem komuniti rakyat dan mempamerkan hospitaliti Malaysia sebagai destinasi unggul di rantau ini,” katanya.
Katanya, kerajaan akan terus melangkah ke hadapan pada tahun ini dengan memberi hasil yang bermakna buat rakyat keseluruhannya, berasaskan reformasi berterusan dan kestabilan pentadbiran negara. – KOSMO! ONLINE














