fbpx
Tangkap layar video tular menunjukkan seorang lelaki dipukul beberapa individu didakwa berlaku di sebuah masjid baru-baru ini.

Video tular kes ‘rompakan masjid’ bukan di Kota Setar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Polis Kota Setar menafikan video tular kejadian seorang lelaki dipukul beberapa individu di sebuah masjid berlaku di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, pihaknya mengesan satu video bertajuk kes rompakan di Masjid Kuala Kedah yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook Info Terkini 2026.

“Video berdurasi kira-kira 20 saat itu memaparkan seorang lelaki dipukul beberapa individu dan didakwa berlaku di Masjid Kuala Kedah.

“Sehubungan itu, polis daerah Kota Setar ingin menegaskan bahawa kejadian seperti yang dipaparkan menerusi video tular tersebut tidak berlaku di daerah Kota Setar,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, hasil semakan dan penelitian lanjut mendapati tiada sebarang laporan polis diterima berhubung kejadian berkenaan di mana-mana lokasi di daerah ini termasuk di Masjid Kuala Kedah.

“Kita ingin menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi, menyebarkan maklumat tidak sahih atau menularkan kandungan yang boleh mengelirukan masyarakat.

“Ini kerana perbuatan tersebut boleh menjejaskan ketenteraman awam serta mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang ramai,” ujarnya.

Beliau pada masa sama meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian sebenar seperti dipaparkan menerusi video itu agar tampil menyalurkan maklumat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar atau menghubungi talian 04-774 7222. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI