fbpx
Tangkap layar perbualan mangsa dengan scammer yang menipu jual beli tiket konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza.

Tiket konsert TokTi tak dapat, RM350 ‘terbang’ ditipu scammer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Isu penipuan jual beli tiket konsert kembali mencuri tumpuan apabila seorang peminat mendakwa menjadi mangsa selepas membeli tiket Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza menerusi urusan persendirian di media sosial.

Menurut perkongsian di akaun Thread @nur.eveleen, dia memaklumkan urusan pada awalnya kelihatan meyakinkan apabila individu terbabit menawarkan tiket pada harga RM180 sekeping sebelum bersetuju menjual dua keping pada RM350.

Mangsa mendakwa sudah membuat bayaran dan penjual turut menghantar bukti transaksi serta video kononnya bagi meyakinkan bahawa urusan tersebut dipercayai.

Bagaimanapun, selepas bayaran dibuat, penjual didakwa memberi pelbagai alasan termasuk perlu ‘buka komputer’ untuk menguruskan tiket sebelum akhirnya menyekat (block) mangsa di WhatsApp dan Threads.

“Kena ‘scam’ beli tiket konsert Siti Nurhaliza Legacy 30 weh. Terbang RM350 aku. Dia siap hantar video kata ‘legit’. Lepas dah pindah duit. Dia ‘block’.

“Dah telefon bank. Sekarang nak pergi buat laporan polis. Hati-hati dengan nombor telefon dan ‘username’ gambar saya muat naik,” tulisnya.

Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza dijadualkan berlangsung pada 10 Januari depan di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan sasaran kira-kira 60,000 penonton, sempena meraikan tiga dekad perjalanan seni Biduanita Negara itu.

Jualan tiket umum dilaporkan bermula 3 Oktober lalu selepas tempoh pra-jualan eksklusif untuk pemegang kad bank tertentu.

Harga tiket pula ditawarkan mengikut kategori tempat duduk, bermula serendah RM69 (Restricted View) dan RM89 (Bronze), diikuti RM189 (Silver), RM289 (Gold), RM359 (Platinum), RM459 (Diamond), RM1,299 (VIP) dan RM1,599 (Super VIP).

Fenomena permintaan tinggi turut dilaporkan apabila sehingga hujung Oktober tahun lalu, sebanyak 58,000 tiket sudah terjual dan hanya berbaki kira-kira 2,000 tiket, antaranya kategori VIP dan Platinum untuk direbut peminat.

Malah, terdapat laporan yang menyebut sekitar 96 peratus tiket habis terjual dalam tempoh tidak sampai sebulan, manakala sebahagian kategori disebut habis dengan pantas seawal jualan umum dibuka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN