fbpx
Steven meluangkan masa berkunjung ke kediaman Hilmi di Bukit Mertajam, hari ini.

Steven Sim bantu ubah nasib Hilmi, dari berumah dalam kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Siapa sangka dari tular berumah di dalam sebuah kereta akibat ditipu dalam urusan sewa rumah tahun lalu, kini tujuh beranak bangkit memulakan hidup baru dan tinggal di sebuah rumah yang lebih selesa, hasil bantuan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim.

Steven menerusi Facebooknya turut berkongsi kegembiraan apabila berpeluang mengunjungi ke kediaman sewa Mohd. Hilmi Nordin, 38, dan pasangannya, Wan Nor Hidayah Abdullah, 29, di Bukit Mertajam di sini.

“Hari ini, saya ambil sedikit masa untuk ziarah kat rumah Hilmi. Saya nak tengok sendiri keadaan keluarga mereka berbanding setahun lalu.

“Hilmi sambut saya di depan pintu, terus peluk dan ucapkan terima kasih. Lelaki yang setahun lalu saya temui sedang duduk beralaskan kain rentang buruk di tepi kereta usang bersama isteri dan lima anak kecil, hari ini berdiri di depan rumah sendiri dengan senyuman dan keyakinan.

“Di ruang tamu rumah sewa yang kini ditanggung bayar sendiri oleh Hilmi, kami duduk makan bersama. Saya tengok anak-anaknya makan dengan penuh selera. Dulu, kalau makan ayam, mereka kongsi dua ketul tujuh orang,” katanya di sini, hari ini.

Dalam lawatan tersebut, Steven memberitahu, dia gembira melihat kehidupan baru tujuh beranak tersebut setelah berdepan dengan cabaran hidup di perantauan.

“Saya tengok sekeliling. Rumah ini bukan mewah, tapi cukup selesa. Ada sofa, ada meja makan, ada langsir. Anak-anak berlari riang, tak perlu lagi tidur dalam kereta yang cerminnya ditutup plastik.

“Sekarang Hilmi ada kerja tetap sebagai pemandu lori. Gaji agak lumayan, cukup untuk sara keluarga. Tapi kerja jauh, jarang ada di rumah.

“Saya senyum. Saya tak buat semua ini untuk dikenang. Saya buat sebab saya percaya bila kita bantu orang susah, kita bukan sekadar ubah hidup mereka, kita ubah masa depan anak-anak mereka,” ujarnya.

Jelasnya lagi, Hilmi yang berasal dari Kelantan itu disifatkan sebagai seorang bapa yang penyayang dan lebih mengutamakan keluarga.

“Saya tengok Hilmi dan Yani bukan saja bangkit, tapi mereka bangkit dengan maruah. Mereka tak minta-minta, mereka tak merungut.

“Mereka usaha, mereka kerja keras, mereka jaga anak-anak dengan penuh kasih. Saya bangga dengan mereka,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN