PETALING JAYA – “Anak saya sudah (bersunat). Rileks sahaja dia sunat sambil main permainan video.”
Demikian reaksi lelaki dipercayai bapa kepada seorang kanak-kanak yang leka bermain permainan video ketika berkhatan di sebuah klinik di Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Gelagat kanak-kanak itu mencuri perhatian ramai apabila bapanya berkongsi rakaman memaparkan keadaan anaknya yang kelihatan santai bermain permainan video sambil baring selain memuji layanan baik doktor dengan kerenah budak.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang terhibur dengan gelagat kanak-kanak tersebut yang kelihatan seperti tidak gementar.
“Pak cik dulu siap ada perjanjian dengan keluarga, dah sunat, baru boleh main permainan video,” kongsi @Sufiology.
“Alahai adik, kalaulah ada macam ini zaman dahulu mahu sunat sampai habis pun tak sedar, “ balas @K_Axzxd.
“Memang betul-betul santai. Doktor dan jururawat pun nampak macam tengah buat tugasan (seperti) biasa sahaja,” komen @Remysham23. –KOSMO! ONLINE














