JAKARTA – Satu klip video tular memaparkan situasi sebuah jambatan gantung di Sukabumi, wilayah Jawa Barat yang dibanjiri puluhan pengunjung sehingga menyebabkan kesesakan, lapor portal berita iNews.
Kejadian berlaku di Jambatan Gantung Situ Gunung pada cuti umum Tahun Baharu 2026.
Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @ajriyan17 menunjukkan sejumlah pengunjung berkumpul di atas jambatan sambil bergerak secara perlahan.
Ada antara mereka dilihat memakai baju hujan ekoran cuaca yang tidak menentu.
“Setelah selesai merakam gambar, teruskan berjalan meskipun perlahan,” kata seorang petugas di dalam video itu.
Rakaman itu mencatatkan lebih 2.5 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Kalau tali jambatan putus kita mahu salahkan siapa?” kata seorang netizen.
“Kenapa masih ramai orang mahu bercuti di tempat sesak seperti ini?” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI














