JOHOR BAHRU – Tindakan pantas pihak berkuasa berjaya membongkar satu aktiviti penyimpanan hidupan liar melibatkan empat ekor anak buaya tembaga bernilai RM240,000 menerusi satu serbuan yang dijalankan sekitar bandar raya ini, kelmarin.
Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Senior Asisten Komisioner Rosli Md. Yusof berkata, serbuan tersebut dijalankan pihaknya dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor.
Katanya, pemeriksaan mendapati anak buaya tembaga itu disimpan di dalam sebuah kotak polisterin yang diletak di bahagian but belakang sebuah kenderaan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati haiwan tersebut disimpan tanpa sebarang permit atau kebenaran sah daripada pihak berkuasa berkaitan.
“Buaya tembaga yang ditemukan adalah spesies hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716). Sehubungan itu, kami merampas haiwan tersebut bersama sebuah kenderaan dan sebuah telefon bimbit bernilai keseluruhan RM285,000,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Rosli, suspek iaitu seorang lelaki tempatan telah ditahan bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis sementara pihak Perhilitan Johor melengkapkan kertas siasatan.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 68 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) iaitu kesalahan menyimpan hidupan liar tanpa Permit Khas,” ujarnya.














