TANGKAK – Dua beranak maut apabila kereta yang mereka naiki bertembung sebuah kenderaan pacuan empat roda yang terlanggar seekor kerbau melintas di KM 33 Jalan Kebun Baru – Bukit Serampang, Tangkak malam tadi.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd. Talib berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 8.15 malam semalam mengorbankan dua wanita yang dipercayai mempunyai pertalian darah.
“Pihak Polis menerima satu laporan kemalangan maut di lokasi kejadian melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah kereta jenis Honda City dengan sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu Mitsubishi Triton terlanggar seekor kerbau yang melintas secara tiba-tiba di atas jalan menyebabkan kenderaan yang dipandu hilang kawalan lalu termasuk ke laluan bertentangan dan terlanggar kereta dinaiki mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Roslan, warga emas berusia 74 tahun yang berada di bahagian penumpang hadapan kereta Honda City meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu, wanita berusia 42 tahun meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Hospital Tangkak.
Katanya, dua lagi penumpang belakang kereta tersebut serta pemandu kenderaan pacuan empat roda turut mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Tangkak untuk rawatan lanjut.
“Pihak polis menasihatkan pemilik binatang ternakan supaya memastikan ternakan mereka tidak dibiarkan bebas dan berada di atas jalan raya.
“Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta untuk menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Faszrulhaq Zulkapli di talian 012-2306943 atau mana-mana balai polis berhampiran,”katanya.
Kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – KOSMO! ONLINE














