PETALING JAYA – Haram perbuatan membeli set kain kapan jika diuar-uarkan kepada khalayak ramai bagi tujuan riak, sombong serta menghina set kain kapan murah yang dimiliki adat atau uruf hari ini.
Pendakwah dan personaliti televisyen, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, berkata, mengingati mati sememangnya adalah sunnah Nabi Muhammad supaya kita sentiasa menghindari maksiat.
Bagaimanapun, jelasnya, tiada nas secara jelas yang melarang atau mengharamkan seseorang itu untuk membeli kain kapan yang mahal.
“Maka perbuatan membeli set kain kapan yang mahal terbahagi hukumnya. Pertama harus membeli set kain kapan yang mahal sejajar dengan kelayakannya.
“Namun perbuatannya itu dirahsiakan dan tidak diuar-uarkan kepada sesiapa kecuali ahli warisnya sahaja. Niatnya baik untuk pastikan segala ibadahnya sejajar dengan kehidupan realiti dunianya,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Beliau yang juga Pensyarah Fiqh Fatwa Kontemporari Pusat Kajian Syariah,
Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia berkata pada masa yang sama pula, individu tersebut tidak lupa zakat, sedekah, hadiah, wakaf dan lain-lain terhadap tuntutan agamanya.
“Hukum ini sama seperti jemaah pergi haji dengan pakej mewah RM250,000 seorang bagi keselesaan jemaah yang berkemampuan ketika menunaikan ibadah,” ujarnya.
Beliau berkata, hukum membeli kain kapan jatuh kepada makruh tapi tidak berdosa jika perbuatannya itu diuar-uarkan kepada khalayak ramai bagi tujuan promosi produk dan lain-lain tanpa ada sedikitpun niat takbur dan sombong terhadap orang lain.
“Perbuatan ini bagaimanapun menyebabkan masyarakat Islam bertikam lidah.
“Haram hukumnya jika perbuatannya membeli set kain kapan dan diuar-uarkan kepada khalayak ramai bagi tujuan riak, sombong serta menghina set kain kafan murah yang dimiliki adat/uruf hari ini,” katanya.
Justeru, beliau menasihati agar orang ramai tidak boleh menghukum perbuatan seseorang itu khususnya melibatkan niat kecuali terdapat perbuatan jelas yang menjurus seseorang utu kepada perbuatan haram sebagaimana dinyatakan di atas.
“Semoga pandangan ini dapat menenangkan semua pihak,” katanya.
Terdahulu, tindakan usahawan terkenal, Haliza Maysuri menempah kain kapan khas rekaan pereka fesyen tersohor, Rizalman Ibrahim mendapat perhatian orang ramai apabila disifatkan sebagai persediaan luar kebiasaan menghadapi kematian.
Perkara itu dikongsikan sendiri oleh Haliza menerusi satu hantaran di media sosial apabila dia memuat naik video pertemuannya bersama Rizalman selain memaparkan sesi ‘unboxing’ kit kapan berkenaan.
Difahamkan, set kit kapan tersebut ditempah khas dan dianggarkan berharga sekitar RM999 bagi setiap set, sekali gus mengundang pelbagai reaksi netizen.- KOSMO! ONLINE














