fbpx
CHE MURAD SAYANG ketika menyantuni kumpulan penerima bantuan daripada JKM baru-baru ini.

Gilap ‘batu jadi permata’ ubah nasib ‘anak’ JKM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JENAMA Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang bernaung di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bukan sahaja memberi fokus memastikan kira-kira 600,000 penerima bantuan terus disantuni, malah turut memainkan peranan sebagai ejen perubahan dalam memberi nafas baharu kepada golongan terlibat.

Dalam konteks ini, peranan berterusan dimainkan JKM terus memastikan nasib lapan golongan sasar agensi itu termasuk orang kurang upaya (OKU), warga emas, kanak-kanak dan orang papa terus dipelihara, sekali gus memberi peluang kepada kumpulan itu menikmati kehidupan seperti individu lain.

Lebih membanggakan, agensi itu mampu ‘menggilap’ batu menjadi permata apabila berupaya mengubah nasib kanak-kanak kurang bernasib baik kepada individu berjaya melalui pendekatan akademik dan kemahiran vokasional ditawarkan di institusi di bawah JKM.

Pada masa sama, JKM juga tidak ketinggalan merangka pelbagai inisiatif sebagai persediaan Malaysia menjadi negara tua pada 2030 bagi memastikan kesejahteraan rakyat khususnya warga emas terus diberikan keutamaan.

Ikuti wawancara wartawan Kosmo! Ahad, Ridzauddin Roslan dengan Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Datuk Che Murad Sayang Ramjan mengenai peranan dimainkan agensi itu dalam memelihara kebajikan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

KOSMO! AHAD: Boleh kongsikan berapakah jumlah penerima bantuan JKM dan anggaran peruntukan untuk tujuan itu?
CHE MURAD SAYANG: Berdasarkan statistik JKM sehingga Oktober 2025, jumlah keseluruhan penerima bantuan ialah seramai 559,959 penerima.

Pada tahun 2025, JKM meluluskan peruntukan seba­nyak RM3.1 billion untuk tujuan penyaluran bantuan kepada pe­nerima bantuan seluruh Malaysia.

Terdapat 11 skim bantuan Persekutuan di bawah JKM di mana lapan skim merupakan bantuan bulanan dan tiga skim ialah bantuan sekali gus.

Sebagai contoh, Bantuan Kanak-Kanak (BKK) ditawarkan sebanyak RM200 dan RM250 bagi seorang kanak-kanak dengan kadar maksimum RM1,000 sebulan sekeluarga, manakala Bantuan Warga Emas (BWE) ialah seba­nyak RM600 sebulan dan Bantuan Penjagaan OKU atau Pesakit Kronik Terlantar (BPT) sebanyak RM500 sebulan.

Daripada jumlah penerima itu, siapakah kumpulan sasar yang dikenal pasti JKM?
Kita ada lapan kumpulan sasar melibatkan golongan se­perti kanak-kanak, OKU, warga emas, orang papa, mangsa bencana, mangsa keganasan rumah tangga, pesalah perintah khidmat masyarakat dan mangsa pemerdagangan orang.

Dalam konteks ini, menerusi kumpulan sasar melibatkan kanak-kanak, kita menawarkan bantuan sejak berusia satu hari hingga umur 18 tahun.

Penjagaan itu melibatkan pelbagai aspek yang dilaksanakan petugas JKM seperti menjaga anak sendiri.

Antara kes melibatkan kumpulan itu ialah seperti pembua­ngan bayi selain kanak-kanak terabai yang ditempatkan di 37 institusi bawah JKM.

Difahamkan Sekolah Tunas Bakti (STB) merupakan antara institusi dikendalikan JKM bagi kanak-kanak yang terlibat kes mahkamah, boleh perincikan?
STB adalah institusi pemulihan akhlak ditubuhkan dibawah Seksyen 65 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 bertujuan memberi pemulihan kepada kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah.

Setakat ini, kita mempunyai sebanyak sembilan STB. Antara kesalahan dirujuk ke STB ialah seperti pecah rumah, kecurian dan lain-lain yang berkaitan.

Di STB, JKM memberi tumpuan kepada aspek pendidikan selain melihat minat mereka bagi memberikan latihan vokasional.
Selain itu, kita juga ada Asrama Bahagia dan Asrama Sentosa yang menempatkan kanak-kanak ‘tidak terkawal’ yang terlibat de­ngan beberapa kesalahan.

CHE MURAD SAYANG berkata, bantuan untuk kumpulan sasar melibatkan kanak-kanak ditawarkan sejak berusia satu hari hingga umur 18 tahun.

Bagaimana dengan penca­paian khususnya daripada segi akademik apabila mereka ditempat di rumah perlindu­ngan bawah JKM?
Bagi menjawab soalan ini, saya akan bahagikan mereka dalam dua kategori, satu anak-anak yang mempunyai kebolehan akademik dan satu lagi mereka yang ada potensi dalam aliran vokasional.

Sejujurnya, saya kekal percaya kanak-kanak yang mempunyai kebolehan akademik, mereka mampu mengubah nasib.

Untuk makluman, ramai anak-anak JKM berjaya mencatat keputusan terbaik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mampu menjejakkan kaki ke peringkat seterusnya sama ada dalam bidang akademik mahu pun kemahiran.

Peratus pencapaian penghuni Institusi Kanak-Kanak JKM yang lulus dan layak mendapat sijil juga telah menunjukkan peningkatan kepada 82% pada 2024 berbanding 75% pada 2023. Ia boleh dianggap kejayaan kami ‘menggilap’ batu menjadi permata.

Bercakap mengenai penerima bantuan pula, kumpulan manakah paling ramai memerlukan bantuan daripada JKM ketika ini?
Jumlah penerima bantuan paling ramai ialah dalam kalangan OKU yang mana berdasarkan statistik JKM sehinga Oktober 2025, jumlah penerima OKU melibatkan tiga skim utama ialah sebanyak 248,671 orang dengan peruntukan disalurkan sebanyak RM980.7 juta.

Banyak kes mereka yang mendapat bantuan JKM menyatakan jumlah diterima tidak mencukupi lebih-lebih lagi jika penerima mengalami penyakit kronik.

Jadi, apakah kriteria menentukan jumlah bantuan kepada seseorang penerima?
JKM menggunapakai Garis Panduan Pengurusan Bantuan Kewangan Persekutuan (Bulanan) JKM Tahun 2025 dalam menentukan pemberian bantuan kepada seseorang individu mengikut syarat dan kelayakan ditetapkan.

Syarat dan kriteria berbeza mengikut skim bantuan. Bagi Bantuan Penjagaan OKU Terlantar atau Pesakit Kronik Terlantar dan Pesakit Kronik

Tidak Terlantar (BPT), syarat serta kriteria ditetapkan antaranya seperti pendapatan bulanan isi rumah tidak melebihi RM5,000 sebulan.

Malaysia dijangka menjadi negara tua menjelang 2030 dan bagaimana JKM melihat situasi ini kerana ketika ini ramai juga dalam kalangan rakyat terutama golongan tua tidak dilindungi insurans?
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia menerusi Unjuran Penduduk Malaysia 2020-2060, Malaysia dijangka mencapai status Negara Tua menjelang tahun 2036 apabila jumlah warga emas berumur 60 tahun dan ke atas melebihi 15 peratus daripada populasi.

Menyedari situasi ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah melancarkan Pelan Tindakan Warga Emas Negara (PTWEN) 2026-2030 yang mana ia diba­ngunkan secara komprehensif dan dijajarkan dengan Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

Menerusi pelaksanaan Dasar dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara, Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan dan RMK13 menunjukkan komitmen kerajaan bagi menjamin kesejahteraan warga emas di negara kita.

GOLONGAN memerlukan yang sakit tidak pernah dilupakan oleh JKM.

Apa perancangan JKM untuk menghadapi situasi tersebut?
JKM sentiasa komited menawarkan perkhidmatan soko­ngan, sosial dan kebajikan kepada warga emas dengan melibatkan inisiatif seperti Bantuan Warga Emas secara bulanan dengan nilai RM600.

Ia diberikan kepada penerima berumur 60 tahun ke atas yang tidak mempunyai mata penca­rian tertentu. Inisiatif itu bertujuan menggalakkan warga emas supaya terus tinggal dalam komuniti. Sehingga Oktober 2025, seramai 163,709 warga emas menerima bantuan ini
melibatkan peruntukan RM943.6 juta.

Selain itu, inisiatif lain seperti penjagaan warga emas di Rumah Seri Kenangan dan Rumah Ehsan juga antara langkah diambil JKM selain pelaksanaan Program Sokongan Sosial (Komuniti untuk Komuniti) seperti Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE).

Program itu disasarkan kepada warga emas berumur 60 tahun ke atas dan sihat serta dapat menguruskan diri.

Program di PAWE menekankan pada pembangunan potensi yang ada pada warga emas dari segi keupayaan mereka yang masih sihat dan bertenaga untuk me­nyumbang khidmat bakti dan kepakaran mereka kepada komuniti setempat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN