fbpx
Noor Asikin bersama ibunya menjaga Shahrizam yang terlantar akibat dilanggar kenderaan ketika ditemui di rumah sewa mereka di Pekan Pedas, Rembau semalam.

Gadis 22 tahun rayu rumah PPR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

REMBAU – Seorang gadis yang menjadi tulang belakang keluarga di Pekan Pedas, di sini, merayu agar permohonannya untuk memiliki rumah sendiri di bawah skim Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang ditolak sebelum ini dapat diluluskan.

Noor Asikin Mohd. Yazid, 22, berkata, rumah kedai yang di­sewa keluarganya lebih 20 tahun lalu sudah terlalu usang, malah bahagian dapur telah runtuh akibat mendapan tanah sehingga urusan memasak terpaksa dilakukan di luar rumah.

Menurutnya, dia telah berusaha mencari kediaman bersesuaian, namun kadar sewa rumah setingkat di daerah ini melebihi RM700 sebulan.

Abang sulungnya daripada tiga beradik, Shahrizam, 31, pula merupakan orang kurang upaya (OKU) yang terlantar sejak lebih 18 tahun lalu akibat dilanggar kenderaan.

“Disebabkan itu, kediaman bertingkat yang lebih murah sewanya tidak sesuai untuk saya menguruskan abang terutama apabila dia perlu dibawa ke hospital.

“Besar harapan agar permohonan saya dapat dipertimbangkan semula kerana bayaran bulanan PPR hanya sekitar RM250, sesuai dengan gaji saya yang bekerja di kedai makan,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad semalam.

Ibunya, Mahani Che Bulat @ Che Mud, 52, berkata, Noor Asikin yang juga lepasan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 dalam jurusan bakeri di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Alor Gajah telah banyak membantu keluarga.

Katanya, anak bongsunya itu sanggup bekerja di kedai makan berhampiran rumah supaya dapat membantunya menguruskan Shahrizam.

“Nasib baik Shahrizam ada dapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM500 sebulan serta bantuan lampin pakai buang daripada Baitulmal.

“Saya juga ada terima bantuan bulanan daripada Baitulmal sebanyak RM450 dan ia digunakan sebaik mungkin bagi me­nyara hidup kami,” katanya.

Ujarnya, rumah kedai itu di­sewa mereka pada kadar RM500 sebulan dan mereka juga perlu menanggung bil-bil utiliti serta makan minum sekeluarga.

“Cuma sekarang kami tidak dapat mencari rumah sewa yang sesuai dengan keadaan anak OKU saya itu.

“Saya pula menghidap sakit kronik diabetes serta perlu menjalani rawatan susulan di klinik kesihatan. Disebabkan itu, rumah PPR Rembau amat diharapkan kerana ia sesuai dengan bajet kami,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN