KOTA TINGGI – Kehadiran dua ekor gajah jantan liar yang kerap memasuki kawasan ladang dan tapak pembinaan di Ulu Sedili di sini akhirnya membawa kepada operasi tangkapan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, tangkapan itu dibuat susulan aduan yang diterima daripada Pengurusan Ladang Johor Plantation Group (JPG) kelmarin.
“Aduan dibuat selepas kehadiran dua ekor gajah di sekitar kawasan Ladang Pasir Logok, Ulu Sedili. Dua tangkapan gajah Jantan dewasa berjaya dilakukan.
“Seekor gajah dengan saiz tapak kaki hadapan 13 inci ditangkap di Ladang Tenggaroh 12, Mersing pada pukul 12.05 tengah hari.
“Seekor lagi ditangkap dengan saiz tapak kaki hadapan 15 inci berhampiran Ladang Pasir Logok, Ulu Sedili pada pukul 4.30 petang,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, gajah yang ditangkap itu merupakan pecahan daripada kumpulan utama ID Jemaluang yang sebelum ini sering memasuki kawasan sekitar Ladang Pasir Logok dan kawasan Pembinaan Kompleks Penapisan Minyak Sawit di Ulu Sedili yang masih dalam fasa pembinaan.
Katanya, aduan diterima daripada pekerja-pekerja pembinaan di kawasan kilang tersebut dengan kehadiran gajah itu ke kawasan tapak pembinaan beberapa bulan lalu.-KOSMO! ONLINE.














