fbpx
Khairul Anwar memberi nasihat kepada remaja yang ditahan setelah didapati positif dadah selepas berhibur sempena Tahun Baharu di Thailand.

Seronok di Siam, balik Malaysia positif dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUKIT KAYU HITAM – Keseronokan 13 lelaki termasuk seorang remaja berhibur di Thailand berakhir apabila ditahan dalam operasi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sempena Tahun Baharu di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, semalam.

Pengarah AADK Kedah, Khairul Anwar Ahmad berkata, kesemua mereka berusia antara 18 hingga 39 tahun itu ditahan selepas didapati positif pelbagai jenis dadah seperti ketamin, methylenedioxy methamphetamine (MDMA) dan ganja.

Katanya, enam daripada mereka positif ketamin, empat MDMA dan tiga ganja.
“Amat membimbangkan kerana kebanyakan yang ditahan mendakwa pertama kali mencuba mengambil dadah di tempat hiburan. Kita faham mereka berkunjung ke negara jiran ini semata-mata untuk berhibur. Ini serius kerana selalunya mereka mencuba-cuba kemudian membawa kepada tahap lebih serius.

“Salah seorang daripada mereka merupakan remaja berusia 18 tahun yang baru selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini dan didapati positif ketamin,” katanya ketika ditemui selepas meninjau operasi bermula pukul 6 pagi hingga 12 tengah malam itu.

Menurutnya, apa yang membimbangkan ialah remaja terbabit mendakwa mengambil dadah jenis ketamin yang diletakkan di dalam minumannya ketika menyaksikan konsert sempena Tahun Baharu di Hatyai.

“Remaja ini mendakwa minumannya diletakkan ketamin tanpa disedari dan itu merupakan kali pertama dia ditahan kerana positif dadah. Kita selalu menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika berhibur di negara jiran kerana dadah jenis ketamin ini popular terutama di kelab malam di sana,” ujarnya.

Kata beliau, kesemua individu tersebut ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih dan Penyalahgunaan Dadah dan Bahan Terlarang (Rawatan dan Pemulihan) 1983 untuk tindakan selanjutnya.

“Sempena 2026, AADK Negeri Kedah melalui Unit Antidadah Sempadan Bukit Kayu Hitam akan lebih agresif meneruskan operasi seperti ini kerana kita memandang betapa seriusnya isu penyalahgunaan dadah di sempadan,” katanya.

Sementara itu, remaja terbabit ketika ditemui di pejabat AADK sempadan itu berkata, dia dan rakannya sering berkunjung ke Hatyai untuk berhibur dengan menunggang motosikal.

“Saya harap untuk tidak mengulangi kesalahan ini demi masa depan. Salah saya kerana lalai ketika berhibur,” katanya – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN