HANOI – Malaysia dan Thailand berada dalam senarai 10 destinasi terbaik untuk bersara pada tahun 2026, lapor portal berita VnExprss semalam yang memetik laporan majalah International Living berpangkalan di Ireland.
Malaysia berada di kedudukan ke-10, jatuh tiga anak tangga berbanding tahun lalu, manakala Thailand berada tempat ke-9, naik satu kedudukan dalam Indeks Persaraan Global Tahunan 2026.
Indeks itu menilai faktor seperti perumahan, visa dan faedah, kos sara hidup, penjagaan kesihatan, iklim, pembangunan, tadbir urus dan penarafan daya tarikan.
Menurut laporan tersebut, Pulau Pinang merupakan destinasi ideal untuk pesara susulan harga makanan berpatutan, sewa rumah yang murah dan perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti.
“Makan di luar adalah berpatutan dan sangat memuaskan. Sepinggan char kuetiau atau mi goreng berharga kurang AS$2.46 (RM10). Makanan di sini bukan sahaja murah, malah sangat sedap,” demikian menurut laporan tersebut.
Kadar bulanan sewa kediaman di Pulau Tikus, Tanjong Tokong atau George Town, Pulau Pinang adalah sekitar AS$369 (RM1,500) hingga AS$862 (RM3,500)
Kos rundingan doktor pakar biasanya antara AS$24.50 (RM100) hingga AS$61 (RM250).
Bagi Thailand pula, laporan itu turut mendapati negara tersebut menarik minat pesara kerana kos sara hidup yang rendah dan iklim tropika.
Internet berkelajuan tinggi di Thailand mencecah hampir satu gigabit sesaat dengan kos kurang AS$20 (RM81) sebulan, manakala perkhidmatan pembantu rumah mingguan berharga sekitar AS$15 (RM61).
Menurut anggaran laporan tersebut, seorang pesara bujang yang hidup dengan perbelanjaan kira-kira AS$1,200 (RM4,800) sebulan boleh menyewa studio bernilai AS$300 (RM1,200) di Chiang Mai, menikmati makanan Thai dengan kos sekitar AS$10 (RM41) sehari.
Dalam senarai itu, Greece disenaraikan sebagai destinasi persaraan terbaik, diikuti oleh Panama dan Costa Rica. – AGENSI














