fbpx
ZHANG ditangkap polis kerana disyaki menikam bekas bosnya. - Foto EToday

Kerana hutang RM129,000, lelaki nekad serang bos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAIPEI – Seorang lelaki berumur 25 tahun dikenali sebagai Zhang ditahan di Taiwan kerana didakwa menikam leher bekas majikannya susulan pertikaian kewangan berpanjangan melibatkan wang lebih NT$1 juta (RM129,000), lapor portal berita MSNews hari ini.

Mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 37 tahun, mengalami kecederaan yang mengancam nyawa, namun berjaya diselamatkan selepas dibawa ke hospital tempatan pada 24 Disember tahun lalu.

Menurut polis, Zhang pergi ke kediaman bekas bosnya yang dikenali sebagai Chen dengan membawa sebilah pisau tetapi mangsa tidak berada di rumah.

Apabila bapa Chen membuka pintu, Zhang didakwa mengacukan pisau pada leher lelaki warga emas itu dan mengarahkannya menghubungi anaknya supaya pulang.

Selepas bekas bosnya pulang ke rumah, kedua-dua mereka terlibat dalam pertengkaran serius.

Zhang kemudian didakwa menikam Chen di bahagian leher, menyebabkan luka sepanjang kira-kira 2 sentimeter. 

Chen yang  mengalami serangan jantung dikejarkan ke Hospital Fengyuan, di mana doktor berjaya menyelamatkannya.

Zhang melarikan diri dari lokasi kejadian dengan menaiki motosikal tetapi polis berjaya menjejaki dan menahannya kira-kira dua jam kemudian di Jalan Shenzhou.

Zhang kini disiasat atas dakwaan cubaan membunuh dan mengacukan pisau kepada bapa Chen.

Semasa dia bekerja dengan Chen, majikannya dikatakan meminjam lebih RM129,000 daripada suspek untuk tujuan pelaburan. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN