KLANG – Tindakan berbahaya dua buah bot membawa penumpang melebihi kapasiti memakan diri apabila ditahan di kedudukan 1.2 batu nautika barat Pelabuhan Klang di sini, semalam.
Kedua-dua buah bot itu dikesan kira-kira selang 20 minit bermula pukul 5.30 petang ketika membawa penumpang tempatan menuju ke Pulau Ketam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, pemeriksaan awal mendapati bot tersebut dikendalikan oleh seorang nahkoda dan seorang kru melibatkan tiga lelaki dan seorang wanita berusia 20 hingga 39 tahun.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua bot masing-masing membawa 40 dan 42 penumpang berbanding jumlah penumpang mengikut syarat lesen hanya 32 dan 34 orang.
“Justeru, bot-bot tersebut telah melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kesemua bot bersama individu yang ditahan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut.
Abdul Muhaimin menegaskan, pengusaha bot penumpang wajib mematuhi syarat lesen dan peraturan yang ditetapkan sebelum menjalankan sebarang operasi.
“Tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi bagi memastikan keselamatan orang awam dan harta benda sentiasa terpelihara,” tegas. – KOSMO! ONLINE














