NAPLES – Pemain tengah Napoli, Scott McTominay mengakui berdepan ‘gangguan’ selepas dikaitkan kembali ke Liga Perdana Inggeris apabila tiga pasukan termasuk bekas kelabnya, Manchester United bersedia menawarkannya kontrak.
McTominay menyertai Napoli dari Old Trafford pada musim panas tahun 2024 dan menikmati musim yang cukup cemerlang apabila meledak 13 gol dalam 36 perlawanan untuk membantu skuad kendalian Antonio Conte merangkul gelaran Serie A.
Kejayaan itu menyaksikan dia muncul sebagai pemain terbaik tahun Serie A, dicalonkan dalam senarai 30 pemain untuk Anugerah Ballon d’Or serta berjaya membantu pasukan kebangsaannya, Scotland layak ke saingan Piala Dunia.
Laporan menyebut tawaran berkenaan muncul selepas McTominay dikatakan tidak selesa dengan kehidupannya di Napoli biarpun berjaya memberikan aksi terbaik untuk pasukan itu.
“Scott menyukai gaya kehidupan Itali dan mengharungi musim pertama yang baik. Namun, sikap sayang yang ditunjukkan oleh para peminat terhadap dirinya menjadikan keadaan sukar.
“Dia di layan bagaikan ‘tuhan’ di sini menyebabkan dia berdepan kesukaran untuk menjalani kehidupan yang mudah terutama ketika berada di luar padang,” menurut sumber berkenaan.
Selain United yang berminat untuk mendapatkan khidmat McTominay, Tottenham Hotspur dan Newcastle United turut mengintai peluang, malah Barcelona juga sedia menyertai perlumbaan. – AGENSI














